Berita Utama

PAS tak akan ulang lagi kerjasama dengan PH: Abdul Hadi

Zahid berhak buat laporan polis, namun PAS tak layan isu ‘surat layang’

MARANG, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – PAS tidak akan sekali lagi mengulangi kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH), kata Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, kerjasama antara PAS dengan PH sudah lama, dan cukup setakat itu sahaja.

Bagaimanapun, kerjasama dengan parti gabungan dalam Perikatan Nasional (PN) dan UMNO yang pemimpinnya menjadi Perdana Menteri akan diteruskan.

“Kita akan berusaha mengekalkan dan memperkukuhkan kerjasama ini sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Pendirian PAS adalah kerjasama dengan parti dalam PH tidak akan berulang,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Sementara itu, mengulas mengenai PasLeak, Abdul Hadi menegaskan tidak akan melayan isu berkenaan yang disifatkan sebagai surat layang bertujuan memfitnah parti.

Katanya, hanya golongan ‘loyar buruk’ yang berminat untuk melayan surat layang berkenaan.

“Masalahnya siapa yang buat surat itu pun kita tak tahu, jadi tiada guna kita duk layan (melayan) surat layang ni, nanti kita sama-sama melayang,” katanya.

Manakala mengenai laporan polis dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beliau berkata, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berhak membuat laporan polis, tetapi PAS kekal dengan pendirian untuk tidak melayan isu itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button