Berita Utama

PasLeak cubaan patahkan muafakat dalam parti Melayu: Idris Ahmad

Akui ada pertemuan tapi tak pernah bincang jatuhkan UMNO

BANGI, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Tindakan pihak tertentu menyebarkan dokumen sulit dikenali sebagai PasLeak dilihat sebagai cubaan mematahkan muafakat dalam kalangan parti Melayu terutama antara Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad berpandangan sama dengan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan menyifatkan dokumen tersebut sebagai ‘sampah’.

Beliau mengakui ada pertemuan dalam kalangan mereka namun tidak pernah membincangkan perkara bertujuan untuk menjatuhkan UMNO.

“Saya ini pemimpin tertinggi PAS. Nama pun leak, dah tentu tak betul. Saudara pun mengaji bab media, kita nak ambil sumber ini biarlah yang betul. Kita ambil yang jelas.

“Kata MB Terengganu, saya setujulah. (dokumen sampah). Saya pemimpin tertinggi nombor tiga, satu level dengan saya Naib Presiden, saya nombor satu, kedua Nik Amar (Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah) dan nombor tiga Samsuri. Kami bermesyuarat tak pernah bincang pun bab itu,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.

Dalam hal itu, Idris menyifatkan media yang cuba mendedahkan dokumen tersebut sebagai tiada kerja ingin dilakukan.

“Dia orang tak ada kerja lain la tu. Orang tak ada kerja lain nak bagi laku berita, berita pun nampak tak berapa nak laku. Yang keduanya, kadang nak bagi laku YouTube dia supaya orang bayar.

“Yang ketiga nak mematahkan muafakat dalam kalangan parti Melayu kita, MN dan PN. Orang nak yang ini. Kejayaan orang lain ini musuh kita apabila berlaku perpecahan dalam kalangan kita,” katanya.

Terdahulu tular beberapa keratan minit mesyuarat dan agenda parti tersebut serta pelan atau gerak kerja untuk menjatuhkan UMNO serta BN ketika ini.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri dalam kenyataannya, menganggap dokumen itu sebagai sampah dan menzahirkan rasa hairan kerana ada pihak percaya bahawa dokumen tersebut sebagai sesuatu yang benar.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button