Berita Utama

‘Perang’ menentang COVID-19 belum berakhir

Vaksinasi, suntikan dos penggalak bukan tiket abai SOP

BANGI, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Vaksinasi dan suntikan dos penggalak bukan tiket untuk masyarakat bergerak bebas tanpa mematuhi peraturan COVID-19.

Pensyarah Institut Pengajian Sains Sosial, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman menegaskan bahawa orang ramai masih perlu memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Katanya, ada negara membuat ‘naratif palsu’ mengenai pandemik sudah berakhir kerana kadar vaksinasi tinggi dan tahap kematian akibat COVID-19 rendah, walhal realiti menunjukkan sebaliknya.

“Realitinya, kemunculan Omicron dan Omicron XE adalah peringatan walaupun ramai antara kita menganggap ‘perang’ menentang COVID-19 sudah selesai, hakikatnya ia belum berakhir,” katanya menulis di Berita Harian.

Berdasarkan laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Prof Haliza berkata, varian Omicron dan terkini Omicron XE lebih berbahaya, terutama bagi mereka belum menerima vaksin.

Katanya, lonjakan kes jangkitan global menunjukkan ia lebih mudah disebarkan berbanding varian Delta yang lebih dominan sebelum ini.

“Lebih membimbangkan, daripada sejuta kes dilaporkan kepada WHO, berjuta-juta lagi kes tidak direkodkan. Diakui vaksin dikenal pasti berkesan untuk mencegah kematian akibat COVID-19 dan kesan penyakit teruk, tetapi ia masih tidak dapat menghalang penularan sepenuhnya.

“Apatah lagi masih ramai masyarakat dunia terutama di negara miskin dan mundur atas pelbagai kekangan masih belum berpeluang menerima vaksinasi.

“Menuju fasa endemik, iaitu belajar untuk hidup dengan virus, ini tidak bermakna kita boleh atau harus menerima jumlah kematian yang masih lagi direkodkan tinggi,” katanya.

Justeru katanya, WHO menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus penduduk di setiap negara, divaksin menjelang pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, Prof Haliza berkata, terdapat 90 negara lagi belum mencapai kadar 40 peratus, dengan 36 daripadanya masih kurang daripada 10 peratus.

Di Afrika khususnya, lebih 85 peratus belum menerima walaupun satu dos vaksin.

“Ini menunjukkan dunia tidak bersedia menamatkan fasa akut pandemik melainkan kita menutup jurang besar ini. WHO turut menegaskan masih lama untuk pandemik COVID-19 selesai, walaupun pelbagai usaha dilakukan sejak dua tahun lalu.

“Tambahan pula, kadar perebakan virus masih terlalu intensif selepas tiga tahun pandemik, meskipun ada trend penurunan. Coronavirus masih dan terus bermutasi dan berlipat ganda di sesetengah negara ditambah masalah pengagihan vaksin, ujian serta rawatan yang ia amat diperlukan bagi meminimumkan penularan dan kematian.

“Selain itu, penurunan kadar ujian COVID-19 akibat jumlah kes semakin rendah dan kebanyakan negara melonggarkan sekatan, menyumbang kekurangan data terkini mengenai ancaman pandemik pada peringkat global,” katanya.

Pautan berkaitan;

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2022/04/947937/laluan-endemik-berliku-agihan-vaksin-dunia-belum-menyeluruh

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button