Berita Utama

Konsert tak bermoral akan terus wujud jika budaya berhibur enggan dibendung

Bukan isu siapa kerajaan, dalam tempoh 20 tahun sudah banyak penganjuran

BANGI, 5 Muharram 1445H, Ahad – Budaya berhibur dalam masyarakat yang tidak dibendung dengan serius menyebabkan wujudnya pelbagai penganjuran konsert tidak bermoral di negara ini.

Perunding Kanan Hubungan Antarabangsa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berkata, budaya ini akan bertambah buruk sekiranya kerajaan – tidak kira siapa yang memerintah – juga bersifat sukakan kepada hiburan sedemikian.

“Dalam tempoh 20 tahun ini boleh disenaraikan berapa banyak penganjuran sudah berlangsung. Sebahagiannya mungkin melepasi batas moral budaya kita orang Timur.

“Jadi ini bukan isu siapa kerajaan, tetapi satu budaya berhibur dalam masyarakat yang tidak dibendung dengan serius,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Muhammad Fauzi, beliau juga tertanya-tanya budaya apa yang hendak diterapkan di negara ini, tatkala sebahagian pihak cuba menonjolkan dakwah, namun pada masa sama penganjuran konsert tidak bermoral terus berjalan.

“Bukan setakat isu jemputan Coldplay yang kecoh beberapa bulan dahulu, tetapi konsert-konsert seumpamanya terus berjalan secara senyap-senyap dalam skala kecil atau besar.

“Kita hanya. bergaul dengan rakan sekerja profesional atau hanya bergaul di kejiranan surau masjid… mungkin tidak tahu apa yang berlaku di dunia hiburan.

“Bahkan dulu pada 2014, kita pernah dikejutkan dengan konsert yang tidak diiklankan secara meluas, hanya diketahui setelah beberapa penonton mati,” katanya.

Atas dasar itu, beliau berharap supaya pendakwah Islam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik Islam dan tokoh masyarakat untuk tidak menyerah kalah dan berserah dengan fenomena seperti ini.

“Terus mendidik masyarakat dengan nilai-nilai Islam yang murni. Rawat masalah dari akar umbinya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan persembahan artis dari United Kingdom (UK), The 1975 di Good Vibes Festival 2023 di Litar Antarabangsa Sepang pada malam Jumaat dihentikan selepas vokalisnya, Matty Healy menunjukkan aksi kurang sopan di hadapan peminat.

Dia didakwa memegang botol arak ketika berada di atas pentas selain membuat ucapan menghina undang-undang Malaysia berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Susulan aksi dan kenyataan sangat biadab itu, penganjur festival berkenaan dipanggil polis dan diarahkan membatalkan serta-merta baki penganjuran yang dijadualkan sehingga hari ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button