Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Potongan harga ujian COVID-19 untuk bakal haji

Jumlah pengurangan bayaran ujian belum dimuktamadkan

KUALA LUMPUR, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Bakal jemaah haji tahun ini dijangka menerima pengurangan harga bagi ujian pengesanan COVID-19 Tindak Balas Berantai Polimerase (RT-PCR).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH) Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata kemudahan itu akan dinikmati jemaah yang melaksanakan saringan tersebut dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Beliau berkata perkembangan itu telah dimaklumkan oleh KKM, bagaimanapun jumlah pengurangan bayaran ujian itu belum dimuktamadkan.

“Kos jalani ujian RT-PCR dan saringan kesihatan perlu ditanggung bakal jemaah tetapi kita baru dimaklumkan, insya-Allah bakal jemaah yang membuat ujian dengan KKM akan diberi pengurangan harga,” katanya pada sidang media berhubung kos bayaran haji di sini hari ini.

Amrin berkata bakal jemaah haji juga wajib menjalani ujian pemeriksaan kesihatan termasuk ujian pengesanan COVID-19, 72 jam sebelum berlepas ke Tanah Suci.

Katanya bakal jemaah haji yang disahkan positif wabak itu tidak dibenarkan untuk mengerjakan ibadah berkenaan dan mereka akan digantikan dengan orang lain mengikut penggiliran.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Haji TH Datuk Seri Syed Salleh Syed Abdul Rahman berkata kriteria jemaah haji yang dibenarkan menunaikan ibadah itu adalah syarat wajib yang ditetapkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata jemaah perlu berada dalam keadaan yang sihat dan tiada penyakit kronik selain menegaskan jemaah mestilah lengkap vaksinasi COVID-19 termasuk dos penggalak. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button