Berita Utama

Tak perlu pakai ‘mask’ lagi lepas raya?

Zuraida beri bayangan, Khairy kata tunggu minggu depan

PUTRAJAYA, 20 Ramadan 1443H, Jumaat – Lebih banyak kelonggaran sekatan COVID-19 dijangka diumumkan kerajaan minggu depan, menjelang sambutan Hari Raya.

Difahamkan, pengumuman itu mungkin ada kaitan dengan keperluan pemakaian pelitup muka, terutama selepas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin memberi bayangan ia tidak lagi diwajibkan selepas Hari Raya, lapor akhbar Sinar Harian.

“Saya boleh buka ‘mask’ kan? Tak apalah, selepas raya pun dah optional (pilihan),” katanya pada majlis di kementeriannya, hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditemui pada majlis pelancaran program mQUIT masjid di Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin meminta pihak media menunggu pengumuman minggu hadapan.

“Tunggu minggu depan,” jawabnya ringkas kepada soalan itu.

Pada majlis berasingan di Hospital Putrajaya kemudian, Khairy berkata, kerajaan bersedia untuk menghapuskan lebih banyak sekatan COVID-19 memandangkan keadaan pandemik di negara ini semakin pulih.

Bagaimanapun, beliau menggesa rakyat Malaysia supaya tidak leka memandangkan negara masih dalam peralihan kepada fasa endemik memerangi COVID-19.

Malaysia mewajibkan pemakaian pelitup muka mulai 1 Ogos 2020.

Banyak negara telah menghapuskan keperluan untuk memakai pelitup muka di khalayak ramai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button