Pendapat

Mahasiswa perlu cakna peluang bina kemahiran diri

Masalah graduan menganggur sentiasa berlaku daripada tahun ke tahun

ISU pengangguran di kalangan graduan sudah lama diperkatakan sebelum berlakunya pandemik COVID-19 lagi. Graduan yang baru tidak mendapat pekerjaan yang setanding dengan kelayakan akademik mereka sudah pasti akan membelenggu golongan ini buat sekian lama.

Menurut dapatan daripada Ekonomi Rakyat, kini seramai 1.8 juta graduan yang memiliki pendidikan tinggi bekerja di dalam pekerjaan yang tidak setanding dengan kelayan mereka. Jumlah ini bersamaan dengan 37.5 peratus daripada keseluruhan pekerja-pekerja yang berpendapatan tinggi. Hal ini boleh dikatakan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran (skill-related underemployment).

Walaupun Jabatan Perangkaan Malaysia melalui Laporan Tinjauan Pasaran Buruh yang terbaru melaporkan sebanyak 20,890 pekerjaan yang baru dicipta pada suku keempat tahun 2021, namun sebanyak 64 peratus daripada jumlah tersebut adalah pekerjaan separuh mahir. Jika pekerjaan ini mampu diisi oleh graduan, hal ini seakan tidak berbaloi dengan kelayakan pendidikan mereka ditambah pula dengan bebanan hutang pendidikan yang perlu dibayar oleh mereka.

Dalam soal pengangguran pula, Januari 2022 mencatatkan pengangguran kekal 4.2 peratus. Bilangan orang menganggur berkurang kepada 680,400 orang berbanding 687,600 pada Disember 2021. Hal ini menunjukkan penurunan ini tidak memberikan impak yang besar dan positif.

Pada suku ketiga tahun 2021, Ketua Perangkawan Malaysia iaitu Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, seramai 22,400 graduan pemegang ijazah dan 14,800 graduan pemegang diploma menganggur selepas tamat belajar yang menghasilkan jumlah seramai 37,200 orang. Jika melihat penurunan kadar pengangguran pada Januari 2022, hanya seramai 7,200 orang sahaja yang memperoleh pekerjaan dan jumlah ini tidak mencatatkan sama ada graduan ataupun bukan graduan. Hal ini jelas menunjukkan masalah graduan menganggur merupakan isu yang besar dan sentiasa berlaku daripada tahun ke tahun mendatang.

Solusinya boleh bermula daripada mahasiswa dan mahasiswi

Dalam usaha untuk menyelesaikan isu ini, kerajaan telah mengambil beberapa insiatif dengan memperkenalkan program MySTEP dan PROTEGE dalam usaha memberikan pengalaman kepada graduan dalam tempoh beberapa bulan. Sebahagian daripada graduan yang mengikuti program ini akan diserap terus untuk bekerja bergantung kepada syarikat-syarikat tertentu.

Namun demikian, graduan juga seharusnya boleh mengambil sendiri dengan membuat sedikit pelaburan untuk menyertai mana-mana kursus yang dianjurkan oleh konsultan kerjaya. Hal ini boleh diambil contoh daripada kursus Job Search Masterclass (JSM) yang dianjurkan oleh Career Cube. Kursus ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada setiap lapisan masyarakat termasuk mahasiswa dan mahasiswi yang masih berada di dalam pengajian lagi.

Pengisian di dalam kursus tersebut amat lengkap dengan pelbagai info berkenaan tips memohon pekerjaan seperti cara yang terbaik menghasilkan resume, membina jaringan di Linkedin, persediaan temuduga dan cara berunding berkenaan gaji. Segala pengisian daripada kursus ini boleh diambil oleh mahasiswa dan mahasiswi sebagai persediaan awal sebelum melangkah keluar daripada universiti lagi. Persediaan yang awal semestinya akan memberikan keputusan yang terbaik.

Mahasiswa dan mahasiswi juga boleh mengambil peluang untuk meningkatkan kemahiran daripada luar bidang pengajian dengan menyertai kursus latihan yang dianjurkan oleh Human Resource Development Corporation (HRD Corp) di bawah pemantauan Kemneterian Sumber Manusia. Kursus yang dinamakan sebagai e-LATiH ini menyediakan pelbagai topik kursus yang boleh dipilih seperti kepimpinan, pendidikan, bahasa, pemasaran, pengurusan kualiti dan pengurusan perniagaan.

Kursus ini adalah percuma dan disediakan e-sijil sebagai pengikitirafan usai sahaja selesai melengkapkan kursus mereka. Hal ini boleh dijadikan sebagai nilai tambah kepada mahasiswa dan mahasiswi seterusnya boleh meningkatkan lagi nilai kebolehpasaran mereka.

Situasi ekonomi sekarang yang tidak menentu memang tidak dinafikan menghimpit golongan muda yang baru sahaja ingin membina platform di alam kerjaya. Namun, masalah ini dapat diselesaikan jika golongan ini dibimbing dan didedahkan dengan teknik yang betul untuk memohon pekerjaan. Yakini setiap usaha yang dibuat pasti mendapat ganjarannya maka mulalah mengambil inisiatif untuk menyertai kursus ataupun latihan yang tidak tertumpu di dalam universiti sahaja.

Muhammad Imran Hakimi
Yang Dipertua PEMBINA UKM
Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button