Berita Utama

Aman Palestin kecam pencerobohan Zionis di Masjid al-Aqsa

Ayuh menyumbang melalui kempen Ramadan Bersama di Palestin, Syria dan Yaman

BANGI, 21 Ramadan 1443H, Sabtu – Aman Palestin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Zionis Yahudi yang cuba merampas hak rakyat Palestin dan seluruh umat Islam terhadap Masjid al-Aqsa.

Berikutan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut menggesa seluruh rakyat supaya menzahirkan solidariti bersama rakyat Palestin yang sentiasa istiqamah mewakili seluruh umat Islam dalam mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad, Ustaz Awang Suffian Awang Piut berkata, pada 15 April lalu masyarakat seluruh dunia digemparkan dengan pencerobohan besar-besaran Israel ke atas Masjid al-Aqsa ketika umat Islam sedang beribadah bagi meraikan Ramadan di masjid itu.

Tentera rejim Israel telah bertindak melampaui batas terhadap rakyat Palestin seperti kebiasaannya dengan memukul secara ganas tidak kira umur mahupun jantina, menghancurkan tingkap dan prasana lain Masjid al-Aqsa serta mengurung warga Palestin di dalam Masjid Qibli.

Bahkan tentera rejim Zionis turut mencemarkan kesucian Masjid Ibrani dengan memakai kasut dan mengadakan ritual Yahudi dalam majlis tersebut.

Tidak cukup dengan itu tentera rejim Israel menangkap ratusan pemuda Palestin dan membawa masuk ribuan ahli ultra-Ortodoks Yahudi ke dalam perkarangan Masjid al-Aqsa.

Ustaz Awang berkata, Israel mendakwa mereka ingin meraikan perayaan Passover dan ingin mengadakan ibadah korban dalam perkarangan Masjid al-Aqsa bermula bermula 15 hingga 23 April.

“Tipu helah Israel ini bukan kali pertama dalam menipu mata dunia. Sememangnya mereka mempunyai rancangan jahat untuk menubuhkan Israel Raya tanpa Baitulmaqdis.

“Mereka ingin menjadikan Masjid al-Aqsa sepenuhnya di bawah cengkaman Zionis Israel supaya mereka dapat membina Temple of Solomon di atas runtuhan Masjid al-Aqsa.

“Mereka juga sedang berusaha untuk mengubah demografi Baitulmaqdis dengan mengeluarkan umat Islam daripada memasuki masjid itu dan menodai kesuciannya dengan ritual-ritual Yahudi yang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Serentak itu, beliau mengajak umat Islam bangkit dan mengulangi kejayaan telah diungguli pada perang Saiful Quds tahun lalu sehingga Zionis Yahudi terpaksa keluar dari Masjid al-Aqsa.

Katanya, inilah kewajipan dan tanggungjawab sebagai umat Islam terhadap kota suci yang telah diwasiatkan oleh Rasulullah ﷺ.

Malahan katanya, Aman Palestin juga tidak terlepas peluang untuk terus komited membawa berita terkini setiap masa berkenaan perkembangan Masjid al-Aqsa dan keseluruhan Palestin.

“Teruskan sokongan kita dengan doa Qunut Nazilah pada setiap kali selepas solat di seluruh masjid di Malaysia dan hulurkanlah bantuan yang terbaik buat para murabbitun dan Masjid al-Aqsa.

“Ayuh menyumbang melalui kempen Ramadan Bersama di Palestin, Syria dan Yaman yang dianjurkan oleh Aman Palestin.

“Khusus pada 10 malam terakhir Ramadan, Aman Palestin membuka ruang kepada seluruh masyarakat untuk terus bersama menyumbangkan bantuan melalui Saham Pelaburan Akhirat khas buat Masjid al-Aqsa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button