COVID-19: Penggunaan katil hospital kekal rendah
Tiada satu pun negeri melebihi 50 peratus untuk penggunaan katil biasa dan ICU

KUALA LUMPUR, 21 Ramadan 1443H, Sabtu – Penggunaan katil hospital untuk COVID-19 kekal rendah dengan hanya 16 peratus daripada 10,290 katil yang diperuntukkan digunakan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu, setakat ini hanya 12 peratus daripada 760 katil Unit Rawatan Rapi (ICU) yang diperuntukkan dan hanya dua peratus atau 127 katil pusat kuarantin dan rawatan (PKRC) telah diduduki setakat ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, tiada satu pun negeri mempunyai kadar penggunaan melebihi 50 peratus untuk katil biasa dan ICU.
Dr Noor Hisham juga berkata, kadar kebolehjangkitan atau Rt adalah pada 0.80 semalam.
Sementara itu, COVID-19 meragut 12 nyawa semalam, menjadikan keseluruhan kematian akibat coronavirus kepada 35,482 kematian.
12 kematian itu, termasuk dua kes dibawa masuk (BID), masing-masing tiga dilaporkan di Johor dan Melaka, masing-masing dua di Pulau Pinang dan Selangor serta masing-masing satu di Sabah dan Sarawak.
Jumlah kes aktif COVID-19 di seluruh negara terus menurun dengan jumlah jangkitan kini sebanyak 85,403 sehingga Jumaat.
Data CovidNow menunjukkan hampir 98 peratus daripada kes atau 83,528 orang kini berada di bawah kuarantin rumah, 1.9 peratus menerima rawatan di hospital, 0.1 peratus di pusat kuarantin dan rawatan (PKRC) COVID-19 manakala 0.1 peratus lagi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU).
Dr Noor Hisham berkata, Malaysia merekodkan 6,342 kes baharu dan 9,111 kes pulih pada 22 April, menjadikan jumlah keseluruhan masing-masing 4,421,443 dan 4,300,558.
Daripada 6,342 kes baharu, hanya 42 kes berada dalam Kategori 3, 4 dan 5 di mana 14 daripadanya telah divaksin sepenuhnya, 15 divaksin sepenuhnya dengan penggalak dan 13 sama ada divaksinasi separa atau tidak.
91 kes Covid-19 sedang dirawat di ICU, dengan 61 pesakit menggunakan ventilator.
Dr Noor Hisham berkata, dua kluster COVID-19 telah dikenal pasti semalam, kluster pendidikan dan kluster berisiko tinggi, masing-masing di Sabah dan Perak.
Katanya, dengan dua kluster baharu itu, kementerian kini memantau 100 kluster aktif di seluruh negara.