Berita UtamaIstimewa

Hubungan UMNO-PAS kian meruncing, kembali serang-menyerang

Masalah serius dalam sistem kehakiman negara jika PasLeak benar

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 21 Ramadan 1443H, Sabtu – Dokumen minit mesyuarat – PasLeak – yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO, memberi kesan yang agak mengejutkan pada politik Malaysia. 

Melihat situasi itu, pastinya menjadi petunjuk jelas bahawa hubungan dua parti terbesar PAS dan UMNO kini berada di tahap yang sangat meruncing. 

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, meskipun telah dinafikan daripada pihak PAS, namun masih banyak juga pihak yang percaya kepada apa yang tertulis dalam dokumen itu. 

“‘Mereka’ telah menanam satu persepsi bahawa PAS dan Bersatu sedang merancang menghalang kemaraan Barisan Nasional. 

“Saya fikir ini boleh memberi kesan kepada situasi politik semasa,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Beliau percaya isu PasLeak ini memburukkan lagi hubungan antara PAS dan UMNO. 

“Setelah PAS selama dua kali dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama Bersatu menentang Barisan Nasional di Melaka dan Johor.

“Kini dilihat dua parti yang sebelum ini menjalin kerjasama, kembali bersaing dan menyerang antara satu sama lain,” katanya.

Selain itu, dakwaan bahawa terdapat gesaan campur tangan bagi mempercepatkan hukuman mahkamah dalam kes Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut mengejutkan.

“Dakwaan ini jika benar menandakan satu masalah serius dalam sistem kehakiman kita,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa dokumen, yang mendakwa terdapat perancangan rapi untuk mempercepatkan hukuman mahkamah terhadap beberapa pemimpin kanan UMNO.

Antara nama yang disebut sebagai ‘perancang utama’ dalam dokumen itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang dikatakan mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik lain.

Antara pemimpin itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, Ahmad Samsuri, yang juga Menteri Besar Terengganu, menyifatkan butiran dokumen itu adalah palsu, dan sampah.

Pautan berkaitan;

PasLeak cubaan patahkan muafakat dalam parti Melayu: Idris Ahmad

PasLeak cubaan patahkan muafakat dalam parti Melayu: Idris Ahmad

PasLeak cubaan patahkan muafakat dalam parti Melayu: Idris Ahmad

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button