Berita Utama

Malaysia pandang serius kepentingan pembangunan prasarana termasuk internet

Aspek luar bandar jadi elemen penting pemulihan masyarakat

KUALA LUMPUR, 5 Jamadilawal 1443H, Khamis – Malaysia memandang serius terhadap kepentingan pembangunan infrastruktur termasuk capaian internet kepada masyarakat luar bandar dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dalam satu kenyataan hari ini berkata aspek pembangunan ekonomi luar bandar menjadi elemen penting dalam pemulihan masyarakat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Ini termasuklah aspek pembangunan ekonomi luar bandar kepada pengenalan latihan penggunaan teknologi terkini dalam bidang pertanian, pemerkasaan latihan dalam ekonomi digital dengan kerjasama dalam bidang Teknikal dan Vokasional (TVET) serta keusahawanan luar bandar selain pemerkasaan kepimpinan belia dan wanita luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media sempena Persidangan Pertubuhan Pembangunan Luar Bandar Afrika-Asia (AARDO) kali ke-20 secara dalam talian.

Persidangan tahunan di peringkat menteri ini diadakan bagi membincangkan isu-isu pembangunan luar bandar dan hubungan kerjasama dalam kalangan negara anggota AARDO dari benua Afrika dan Asia.

Pada persidangan kali ini, Malaysia turut menyerahkan jawatan Pengerusi AARDO kepada Kerajaan Ghana selepas menerajui pertubuhan itu selama 3 tahun mulai 2018 sehingga 2021.

Sepanjang tempoh sebagai Pengerusi AARDO, Kerangka Pelan Strategik 2021 hingga 2030 telah diperkenalkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa beliau memegang jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan mempengerusikan Persidangan AARDO Ke-19 pada tahun 2018 yang berlangsung di Kuala Lumpur. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button