Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

ISMA Bangi serah surat bantahan jualan arak di kedai serbaneka

Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak giat dilaksanakan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 21 Ramadan 1443H, Sabtu – Kempen Malaysia Sejahtera Tanpa Arak diperhebatkan lagi dengan penyerahan surat bantahan penjualan minuman keras di beberapa kedai serbaneka di sekitar Kajang.

Ketua Biro Dakwah ISMA Bangi, Ariff Halil berkata, setakat hari ini pihaknya berjaya menyerahkan surat bantahan kepada tiga kedai serbaneka di Kajang.

“Insya-Allah kita akan sambung menyerahkan di beberapa kedai esok.

“Sekurang-kurangnya tiga hingga empat premis lagi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Terdahulu, kira-kira 15 pemuda turut serta dalam penyerahan surat bantahan itu kepada pengurus operasi di kawasan berkenaan.

Penyerahan surat bantahan diketuai Yang Dipertua Ikatan Muslimin ISMA Bangi, Ustaz Bilal Jailani.

Surat bantahan itu antaranya menyatakan bahawa ISMA Bangi mendapat aduan awam berkenaan wujudnya jualan arak di premis berkenaan.

“Justeru, menjadi tanggungjawab kami untuk menyuarakan bantahan terhadap aktiviti tidak sihat ini.

“Arak adalah musuh bagi seluruh manusia merentas agama dan bangsa. Ia membawa kepada penyakit sirosis, keganasan rumah tangga dan kemalangan jalan raya.

“Statistik yang dikeluarkan oleh Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS) mendapati purata 133 orang meninggal dunia setahun akibat kemalangan jalan raya disebabkan pemandu mabuk dari tahun 2010 hingga 2018,” katanya.

Selain itu, katanya, penjualan arak di premis juga mendedahkan pekerja muslim dengan transaksi jualan dan pengendalian arak.

Menurutnya, pembabitan umat Islam dengan arak adalah Seksyen 18 Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan membawa kepada denda hingga RM5,000 dan penjara tiga tahun.

“Justeru, kami dengan tegas membantah penjualan arak di premis Tuan/Puan, dan kami berharap jualan arak dapat dihentikan segera.

“Tindakan menghentikan jualan arak ini amat bermanfaat untuk komuniti kerana ia mengurangkan risiko kemalangan jalan raya, keganasan rumah tangga dan memupuk gaya hidup sihat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button