Berita Utama

Isu jual tanah: ‘Mohon SPRM siasat, dedahkan kepada orang ramai’

Untuk tahu kebenaran penjualan tanah berkeluasan ratusan hektar kepada sebuah syarikat swasta

IPOH, 21 Ramadan 1443H, Sabtu – Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penjualan tanah cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar. 

Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan, malah SPRM diminta untuk menyiasat secara terperinci bagi mengetahui kebenaran penjualan tanah berkeluasan ratusan hektar itu kepada sebuah syarikat swasta. 

“Saya tidak mahu komen perkara ini, saya dengar masih dalam siasatan SPRM jadi saya mohon SPRM siasat sedalam-dalamnya dan dedahkan kepada orang ramai akan kebijaksanaan para pemimpin kita dalam melakukan sesuatu keputusan,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas menghadiri Program Kembara Sahur Peja Bersama Fun Ride Riders di sini, hari ini.

Pada 18 April lepas, Pengarah SPRM Perak Datuk Mohd Fauzi Mohamad menjelaskan seramai 10 lagi individu termasuk bekas Exco kerajaan negeri dipanggil membantu siasatan SPRM berhubung isu itu selain pegawai Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), pegawai kerajaan negeri dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Sebelum ini, media melaporkan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak Datuk Asmuni Awi berkata penjualan tanah kepada syarikat swasta adalah di luar pengetahuan Exco kerajaan negeri ketika era pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Asmuni yang juga seorang daripada Exco kerajaan negeri di bawah pimpinan Ahmad Faizal ketika pentadbiran negeri diterajui PH mendakwa sepanjang menyandang jawatan itu, penjualan terbabit tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Exco untuk diluluskan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad pula memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan berkenaan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button