Berita Utama

Ramadan bulan terbaik latih diri berhenti merokok

Besar ganjaran di sisi Allah jika tinggalkan perkara mudarat

BANGI, 21 Ramadan 1443H, Sabtu – Ramadan bulan terbaik melatih diri berhenti merokok, demikian nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata, disiplin yang dibentuk dalam bulan Ramadan mampu menguatkan dan melawan keinginan merokok. 

“Saya pasti ramai dalam kalangan kita sedang berusaha gigih berhenti merokok. Satu mujahadah yang besar ganjarannya disisi Allah SWT dengan meninggalkan suatu perkara memudaratkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau berkata, sebagai permulaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama agensi Islam menggerakkan kesedaran berhenti merokok di seluruh negara. 

“Kita gerakkan kempen kesedaran untuk berhenti merokok. Masjid dan surau menjadi zon bebas merokok. 

“Masjid-masjid utama di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan juga masjid dan surau di bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), kita akan menggerakkan kempen ini bersama-sama pihak KKM termasuk di platform TV Al-Hijrah, Radio IKIM dan Penyiaran JAKIM,” katanya

Pada masa sama, Jakim akan berkolaborasi bersama Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri untuk kita melebarkan lagi kempen serta pendidikan ini kepada masyarakat awam. 

“Sokongan padu amat kami harapkan daripada seluruh rakyat Malaysia.

“Kuatkan azam berhenti merokok. Layari perkhidmatan berhenti merokok yang disediakan pihak KKM di pautan https://jomquit.com/,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button