Berita UtamaDunia

Russia beri amaran jika Israel bekal peralatan pertahanan kepada Ukraine

Tindak balas sewajarnya akan dilakukan jika disahkan: Duta Besar Russia

MOSCOW, 21 Ramadan 1443H, Sabtu – Duta Besar Russia ke Israel, Anatoly Viktorov memberi amaran, Moscow akan bertindak balas jika Tel Aviv membekalkan Kyiv peralatan pertahanan di tengah-tengah pencerobohan negaranya ke atas Ukraine.

“Kami sedang menyemak maklumat ini den⁶gan teliti dan akan bertindak balas jika ia disahkan,” Viktorov memberitahu televisyen negara Russia.

Akhbar Israel Yedioth Ahronoth memetik sumber politik di Tel Aviv sebagai berkata, pihak keselamatan dan tentera Israel takut terhadap reaksi Russia di Syria yang menjejaskan kerjasama antara kedua-dua negara dan menghalang operasi Tel Aviv di negara yang dilanda perang itu.

Rabu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Benny Gantz, mengumumkan bahawa Israel akan memberikan Ukraine topi keledar dan jaket flak.

“Gantz telah meluluskan pembelian peralatan perlindungan… yang akan dipindahkan kepada pasukan penyelamat dan organisasi awam Ukraine,” kata pejabatnya dalam satu kenyataan.

Ini berlaku beberapa hari selepas Russia memanggil Duta Besar Israel ke Moscow, Alexander Ben Zvi, untuk menegurnya selepas Israel menyokong penggantungan Moscow daripada Majlis Hak Asasi Manusia PBB kerana pencerobohannya ke atas Ukraine.

Sebagai tindak balas, Kementerian Luar Russia mengeluarkan kenyataan di mana pihaknya mengutuk ‘pendudukan haram Israel dan pengilhakan wilayah Palestin.’ – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button