Pendapat

Bersedialah menjadi pimpinan masa depan

Buat persediaan 20 tahun akan datang bukan suasana semasa

1. SEMASA saya berusia awal 20an, saya pernah membayangkan bagaimana keadaannya jika saya menjadi pemimpin kepada mana-mana pertubuhan Islam. Dan apabila pulang ke Malaysia dan terlibat sebagai salah seorang pimpinan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), rupanya apa yang saya bayangkan dulu berbeza dengan apa yang dialami secara sebenar di medan. Yang paling dikesali adalah kurangnya persediaan di usia muda tersebut untuk menanggung beban ketika kepimpinan terbeban di bahu.

2. Pepatah yang dikongsikan oleh sebahagian ulama ini amat dirasai kebenarannya:

من نظر الى العاقبة نجا

“Sesiapa yang melihat kepada kesudahan di hujung, dia akan selamat.”

3. Masa akan berjalan pantas. Semua kita akan disibukkan dengan urusan harian. Jarang-jarang kita memikirkan tentang persiapan untuk menghadapi masa depan. Kebanyakan kita menyelesaikan masalah hari ini, dengan bekalan yang kita miliki semalam. Adakalanya cukup bekalan tersebut dan masalah pun selesai. Tetapi yang selalu berlaku adalah bekalan tidak cukup dan masalah hanya selesai sebahagian. Baki masalah dibawa ke esoknya dan berhimpun pula dengan masalah baru. Begitulah putarannya hingga kadang-kadang berlaku keadaan yang menjadikan kita tidak mampu lagi untuk berbuat apa-apa lalu menyerah sahaja kepada keadaan.

4. Sedikit perkongsian kritikan terhadap generasi saya berkaitan isu persediaan ini:

a. Persediaan dari zaman muda agar kekal mempunyai stamina yang tinggi ketika masuk usia pertengahan hayat. Mungkin sebahagian kami agak cuai dalam penjagaan kesihatan fizikal. Mungkin juga agak cuai dalam mengekalkan stamina minda untuk mampu berfikir secara kuat dan menganalisa secara mendalam. Akhirnya tidak ramai yang masih boleh terlibat menguruskan masalah-masalah baru umat yang tidak pernah timbul 30 tahun lepas; sama ada kerana badan dah tak kuat atau minda dah tak bersedia untuk diserabutkan.

b. Pembinaan keluarga yang salah dari asasnya lalu berkembang menjadi keluarga yang membebankan. Keluarga yang sepatutnya menjadi tempat rehat selepas penat berdakwah di luar bertukar menjadi medan dakwah fokus yang perlu diislah secara kuat dari dalam. Suami atau isteri yang tidak bertanggungjawab kerana tidak dibina dengan posisi sebenarnya pada awal perkahwinan. Anak-anak yang fasiq hasil kelonggaran atau terlalu ‘ketat’ dalam pendidikan Islam anak-anak di usia muda perkahwinan. Keserabutan keluarga akhirnya membataskan penglibatan dakwah di luar.

c. Tidak menyusun perjalanan usia hidup dari muda untuk sentiasa seiring dengan perkembangan ilmu dan teknologi. Hidup hanya diurus dengan ilmu dan teknologi di usianya 20 tahun. Dunia yang berkembang dibiarkan berkembang dan dia selesa ditakuk lama. Apabila sampai peringkat dunia memaksakan semua orang dengan ilmu dan teknologi semasa, sebahagian dari rakan seangkatan saya dianggap tidak relevan lagi kepada dunia lalu akhirnya tercicir.

d. Tidak membina skil bersosial dalam bentuknya yang luas merangkumi pelbagai lapisan masyarakat. Fenomena yang boleh dilihat berlaku adalah ada di kalangan generasi saya yang masih tidak pandai bersosial dengan lapis sebaya apatah lagi lapis muda di bawahnya. Ketika mereka menjadi pemimpin organisasi dakwah, kepimpinannya kaku dan sehala. Asas kepada kepimpinan sudah tentunya kemahiran bersosial yang tinggi. Banyak mesej salah akan sampai kepada ahli jika kemahiran sosial pemimpin ini lemah.

5. Kurangnya persediaan di usia muda terhadap empat perkara ini sahaja sudah cukup untuk menjadikan pemimpin senior hari ini terbeban dengan kepimpinan. Lalu akhirnya menyebabkan organisasi dakwah itu tidak mampu berkembang untuk menguruskan permasalahan semasa yang baru. Apatah lagi jika kita senaraikan banyak lagi aspek-aspek pembinaan dan persediaan yang lain.

6. Kepada generasi muda yang masih berusia hujung 20an, berfikirlah secara kuat untuk memahami suasana negara dan dunia 20 tahun akan datang. Buat persediaan untuk suasana 20 tahun akan datang dan bukan sekadar suasana semasa sekarang. Apabila sampai masanya dan anda tidak bersedia, menyesal pun sudah tidak ada gunanya ketika itu.

Wallahul Musta’an.

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button