Berita Utama

DBP perlu diberi sedikit taring tangani perosak bahasa Melayu

Bagaimana papan iklan untuk paparan umum boleh guna BM yang salah?

BANGI, 22 Ramadan 1443H, Ahad – Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta, supaya satu akta bahasa diperkenalkan untuk memberi sedikit ‘kuasa’ kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mencegah sebarang anasir yang merosakkan bahasa Melayu.

Perkara itu dinyatakan beliau susulan terkejut melihat sebuah papan iklan 3D, yang didakwanya merosakkan bahasa Melayu secara terang-terangan.

Dalam satu video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini, beliau berkongsi iklan dikatakan mengenai sebuah drama yang dipaparkan secara gah di bangunan Lembaga Getah Malaysia, di persimpangan menara berkembar, KLCC.

“Saya terkejut tengok di papan iklan bergerak atau papan iklan 3D di bangunan Lembaga Getah Malaysia. Iklan tentang Halo, mengenai filem atau drama.

“Baca sari kata siri baharu episod setiap minggu, rilis pada hari sama dengan Amerika Syarikat. Rilis? Ini bahasa apa? Rosak bahasa Melayu,” katanya.

Wan Fahysal mempersoalkan bagaimana iklan yang dipaparkan di khalayak umum dan di antara laluan paling sibuk di Malaysia, boleh menggunakan bahasa Melayu yang salah.

“Apa maksud rilis? Sejak bila DBP ada dan meluluskan istilah itu? Kenapa tak cakap ditayangkan sahaja? Memanglah panjang, tapi itulah bahasa kita.

“Rilis ini dia tidak ada sebarang akar bahasa atau tiada sebarang punca dalam kamus. Jadi ini masalah kita.

“Harap akta bahasa diperkenalkan untuk ada sedikit kuku dan taring buat DBP tegur dan ambil tindakan kepada perosak bahasa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button