Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Denda, penjara pada umat Islam tak hormat bulan Ramadan

Makan di tempat awam tetap salah walaupun ada alasan syarak

BANGI, 22 Ramadan 1443H, Ahad – Umat Islam yang sengaja makan di tempat awam pada bulan Ramadan, walaupun mempunyai alasan syarak untuk tidak berpuasa masih dianggap satu kesalahan yang boleh dikenakan denda atau hukuman penjara.

Di bawah Seksyen 15 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 memperuntukkan kesalahan itu sebagai tidak menghormati bulan Ramadan dan bukan tidak berpuasa di bulan Ramadan.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, seksyen itu menyatakan mana-mana orang pada waktu berpuasa dalam bulan Ramadan menjual kepada mana-mana orang Islam, apa-apa makanan, minuman, rokok atau benda lain yang seumpamanya untuk dimakan serta-merta, boleh didenda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Sementara, mana-mana orang Islam yang secara terbuka atau di tempat awam didapati makan, minum atau menghisap rokok pula boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

“Oleh itu, kesalahan yang dilakukan ialah tidak menghormati bulan Ramadan seperti makan di tempat awam walaupun anda mempunyai alasan syarak untuk tidak berpuasa kerana datang haid, musafir atau lainnya.

“Walaupun anda dibenar tidak berpuasa tetapi anda perlu menghormati bulan Ramadan dengan tidak makan di khalayak ramai.

“Bayangkan jika semua perempuan yang haid, orang musafir dan sebagainya berpusu makan di restoran, adakah mereka menghormati bulan Ramadan?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada masalah jika individu itu mempunyai alasan syarie untuk tidak berpuasa dan makan secara ‘sorok-sorok’, kerana ia menghormati bulan Ramadan.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa wanita beragama Islam yang secara terbuka makan di sebuah restoran makanan segera pada bulan Ramadan.

Tindakan wanita terbabit mencetuskan kritikan kebanyakan pengguna media sosial yang menyifatkan mereka tidak menghormati bulan Ramadan, meskipun mempunyai alasan untuk tidak berpuasa.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button