Denda RM2,000, penjara jika guna e-skuter di jalan raya
Kementerian Pengangkutan, JPJ bincang langkah bendung masalah

BANGI, 22 Ramadan 1443H, Ahad – Penggunaan e-skuter di jalan raya merupakan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ianya boleh dikenakan tindakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan jika disabit kesalahan.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Mat Kassim Karim berkata, akta tersebut telah dipinda Oktober 2020, dengan memasukkan tafsiran kenderaan mikromobiliti bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil ke atas penggunaannya di jalan raya.
“Dalam usaha memperincikan tindakan penguatkuasaan, kaedah lalu lintas jalan Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu 2021 telah diwartakan dan mula berkuat kuasa pada 17 Disember 2021.
“Kaedah ini meletakkan e-skuter sebagai jenis personal mobility device (PMD) di bawah kategori kenderaan mikromobiliti,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, hanya kenderaan mikromibiliti jenis basikal sahaja dibenarkan berada di atas jalan raya.
“Dalam usaha tangani permasalahan tersebut, polis akan mengambil pendekatan bagi menjalankan advokasi untuk mendidik masyarakat mengenai bahaya penggunaan e-skuter tanpa kawalan,” katanya.
Sehubungan itu, pihak polis menyeru pengguna e-skuter tidak menggunakannya di atas jalan raya.
“JSPT akan berhubung segera dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pengangkutan bagi membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil supaya masyarakat peka adengan peruntukan undang-undang yang telah berkuat kuasa ini,” katanya.