Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

PasLeak: Hanya cubaan untuk pecah belah Melayu

Ada pihak cemburu penyatuan Melayu, sifatkan perkauman besar

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 22 Ramadan 1443H, Ahad – Isu dokumen dikenali sebagai PasLeak yang tular kebelakangan ini tidak lebih sekadar cubaan mengganggu hubungan perpaduan Melayu.

Atas sebab itu, para pemimpin terbabit diminta untuk bersikap cakna dan tidak terjerumus dengan permainan politik yang merugikan ini.

Selain itu, penganalisis politik, Prof Emeritus Datuk Dr Zainal Kling berkata, pemimpin Melayu juga perlu bijak mentafsir perkara yang membawa agenda baik dan buruk.

“Oleh kerana itu, pemimpin-pemimpin hari ini mesti memiliki pemikiran besar untuk terus bertegas dalam memelihara perpaduan yang sudah tercapai.

“Ini adalah kesempatan untuk mengekalkan perpaduan dan kekuatan parti-parti Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Prof Zainal berkata, buat masa ini apa yang perlu diberi perhatian adalah menjaga kebersatuan Melayu.

Selain itu, katanya lagi, pemimpin Melayu juga bertanggungjawab untuk memelihara kedaulatan pemerintahan yang ada di negara ini.

“Kita bimbang apabila hilang kuasa memerintah dan bangsa lain berkuasa seperti dulu, jadi macam-macam kejahatan dan kehancuran boleh berlaku.

“Jadi matlamat besar melalui kedaulatan dan kekuasaan pemerintahan mesti dipertahankan demi kekuasaan kita, maka itu perlu jadi pegangan utama kita,” tegas beliau.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan para pemimpin dengan matlamat penubuhan Muafakat Nasional (MN) iaitu menyatupadukan Melayu.

Namun malangnya, katanya, sejak awal penubuhan lagi ada pihak yang mencemburui gabungan murni tersebut dibentuk.

“Sejak Muafakat Nasional ditubuhkan, sudah ada cubaan untuk memecahbelahkan…anggap gabungan tersebut merupakan perkauman yang kuat.

“Sekiranya perpecahan itu menjadi, (ia) akan menyebabkan individu yang timbulkan perkara ini akan bertepuk tangan, sebagai tanda kejayaannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button