Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Kenyataan MN ‘anugerah Allah’ tak beri kesan pada UMNO

Wujud kelompok tolak MN selepas PAS bekerjasama dengan Bersatu

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 23 Ramadan 1443H, Isnin – Biarpun niatnya murni untuk menyatupadukan namun kenyataan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa bahawa Muafakat Nasional (MN) adalah ‘anugerah Allah’ tidak memberi kesan kepada pemimpin UMNO.

Sebaliknya, kenyataan tersebut dilihat mampu menjejaskan kedudukan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu di dalam partinya sendiri.

Penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakob berkata, walaupun Annuar ikhlas dalam menyatakan kebenaran namun ia tidak mampu melembutkan pendirian UMNO terutama presidennya untuk kembali memperkasakan MN.

“Kenyataan Annuar dilihat hanya untuk terus kekal dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini, tetapi langsung tidak membantu untuk kukuhkan semula MN.

“Saya lihat kelompok dan kumpulan yang menolak MN khususnya Presiden UMNO masih lagi tidak terima semula gabungan berkenaan berikutan PAS berpendirian untuk bekerjasama dengan Bersatu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Annuar yang menyifatkan kerjasama UMNO dan PAS dalam MN sebagai ‘anugerah Allah’ selepas sekian lama parti Melayu utama itu bermusuhan.

Mengulas lanjut, Tawfik berkata, kenyataan Annuar juga boleh diibaratkan menyalakan api kemarahan dalam kalangan pemimpin UMNO terutama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Kenyataan yang dilakukan Annuar mampu membawa ancaman kepada dirinya sendiri sekali gus mampu menggugat kedudukannya dalam parti.

“Tidak dinafikan berlaku pergolakan dalaman antara pemimpin UMNO namun buat masa ini, UMNO tidak ambil tindakan kerana ingin reda ketegangan dalaman berikutan mahu memberi tumpuan untuk berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tidak lama lagi,” katanya.

Beliau dalam masa sama berpandangan, pemimpin-pemimpin UMNO yang tidak selari dengan presiden dilihat sukar untuk ‘survive’ dalam PRU15 dan perlu mencari haluan baharu.

“Saya yakin sekiranya Bersatu memberi ruang dan laluan kepada golongan ini mereka akan bergerak kepada Bersatu,” katanya.

Ditanya mengenai masa depan MN, Tawfik berpandangan, gabungan itu kelihatan sudah ‘lesu’ dan tidak mampu diperkasakan lagi dan sekadar meninggalkan nama semata-mata.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button