Berita Utama

Kerajaan lulus lebih RM100 juta bina jalan di Pulau Sebatik

Sebahagian daripada usaha pembangunan secara berterusan

TAWAU, 23 Ramadan 1443H, Isnin – Kerajaan telah meluluskan peruntukan lebih RM100 juta bagi pembinaan jalan raya di Pulau Sebatik dekat sini di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) sebagai sebahagian daripada usaha pembangunan secara berterusan di kawasan itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek itu membabitkan pembinaan jalan raya dari Kampung Sungai Pukul ke Kampung Sungai Bergosong bernilai RM59 juta, yang dilaksanakan pada tahun ini menerusi Pelan Tindakan Kedua, RMK12.

“Satu lagi projek bernilai kira-kira RM64 juta melibatkan jalan raya dari Kampung Sungai Melayu ke Kampung Sungai Pukul akan dilaksanakan dalam Pelan Tindakan Ketiga,” katanya kepada pemberita selepas meninjau prasarana untuk rakyat di Pulau Sebatik hari ini.

Selain itu, katanya kerajaan turut meluluskan peruntukan di bawah kementerian lain bagi projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 6) di Sungai Tamang di sini.

“Pada saya, selepas lawatan di Pulau Sebatik ini, ada banyak perkara yang perlu diambil perhatian oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar antaranya menaik taraf sama ada jalan raya, jeti dan bekalan air luar bandar yang patut diambil tindakan segera,

“Perkara ini juga diambil perhatian Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button