Kolumnis

MN bukan sekadar ‘anugerah Allah’ tapi penyelamat agama, bangsa dan negara

Jangan kerana kemenangan beberapa PRN kita menjadi alpa

SAYA amat teruja dengan pandangan, Tan Sri Annuar Musa, Menteri Komunikasi dan Multimedia, bahawa Muafakat Nasional (MN) adalah ‘anugerah Allah’ apabila UMNO dan PAS dapat bekerjasama setelah sekian lama ‘bermusuhan’ sehingga menjejaskan hubungan persaudaraan sesama saudara begitu meruntun. Sudah tentu anugerah ini amat bermakna dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Pandangan optimis dan proaktif Annuar ini ternyata agak berbeza sekali dengan pandangan pemimpin UMNO yang lain yang sedang memimpin parti pada hari ini, yang mengatakan bahawa MN sudah ‘mati’ dan perlu ‘ditalkinkan’. Jangan kerana kemenangan beberapa pilihan raya negeri (PRN) menjadikan kita alpa. Menang kalah semua itu berada dalam perancangan Allah. Hari ini berkuasa, esok belum tentu.

Pada hemat saya, MN bukan setakat ‘anugerah’ tetapi penyelamat masa depan agama, bangsa dan negara. Bukan setakat jangka pendek berdepan dengan PRU15, tetapi demi jangka masa panjang. Memastikan masa depan agama, bangsa dan negara terus berada dalam keadaan selamat.

Beberapa tahun lalu, saya pernah sepentas berforum dengan Annuar. Baharulah saya mengenal hati budinya. Seorang pemimpin berwibawa, berkarisma dan berkredibiliti. Pandangannya, berpijak di bumi nyata, jauh ke hadapan.

Pernah terdetik dalam hati saya ketika berforum dengan beliau, apakah mungkin suatu hari ini beliau dilorongkan untuk menjadi Perdana Menteri? Semua itu tidak mustahil.

UMNO perlu meramai pemimpin seperti Annuar. Beliau mempunyai nilai tambah yang jarang ada pada pemimpin UMNO yang bukan berlatarbelakangkan agama. Pengetahuan agamanya mantap. Inilah kelebihan orang Kelantan. Mereka tidak sekular walaupun tidak berlatarbelakangkan agama.

Melalui pengamatan saya dalam politik UMNO, ada segelintir pemimpin agama yang tidak mahu mengaku orang agama atau dikenali sebagai orang agama. Kalau boleh mahu buang title ustaznya. Mereka tidak selesa menjadi tukang pembaca doa ketika perhimpunan atau majlis. Jika dilantik ke dalam jawatan pun, kalau boleh mereka tidak mahu dikaitkan dengan kementerian atau exco agama.

Ya, memang tidak dinafikan tidak semestinya orang yang bergelar ustaz itu menjadi menteri agama. Pemimpin yang bukan ustaz pun mampu menjadi menteri agama, jika ada asas kukuh dan sifat berani mempertahankan Islam. Contoh seperti pernah ditunjukkan oleh Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menjadi menteri agama. Walaupun bukan berlatarbelakangkan agama, kepemimpinan beliau ketika menjadi menteri agama begitu menyerlah. Jauh lebih baik daripada orang agama itu sendiri, Terutamanya, keberanian dalam mempertahankan Islam apabila diserang musuh.

Sama seperti Annuar Musa, walaupun bukan berlatarbelakangkan agama, pandangan beliau tentang agama dan masa depan Islam begitu tajam. Walaupun MN dilanda dengan pelbagai masalah, beliau masih begitu optimis. Meskipun dibenci dan tidak disukai oleh beberapa pemimpin UMNO masa kini.

Percayalah, selepas kenyataan beliau mengenai MN itu satu anugerah, pasti akan ada beberapa pemimpin UMNO yang akan menyangkal dan sinis. Biasalah dunia politik, orang akan sentiasa kesempatan untuk mendapat laba politik.

Saya cukup bimbang jika dalam kalangan kita tidak dapat melihat anugerah tersebut dan menggunakan anugerah tersebut dengan sebaik-baiknya.

Jika diteliti secara mendalam, selepas UMNO kecundang dalam PRU14, jika MN tidak dihidupkan, mana mungkin UMNO kembali berkuasa pada hari ini. Sokongan PAS terhadap UMNO amat penting dalam kancah politik hari ini. Merentas jalan ke Putrajaya.

Anugerah ini perlu dilihat daripada pelbagai sudut

Pertama, MN ternyata berjaya menggerunkan musuh-musuh Islam meskipun UMNO-PAS kecundang dalam PRU14. Dalam kata lain, MN atau muafakat dalam kalangan orang Islam tidak disukai musuh kerana mereka tahu itulah resepi kejayaan. Sebab itu, kita lihat, selepas MN ditubuhkan, pelbagai cara digunakan oleh musuh-musuh untuk memastikan MN terkubur. Perancangan mereka ini hampir berjaya sebenarnya. Musuh-musuh ini guna orang dalam UMNO dan PAS dengan pendekatan ‘cucuk sana, cucu sini’. Malangnya, ada yang terpedaya. Malang sekali, jika kita masih buta dengan strategi jahat ultra kiasu ini. Ini tidak termasuk si kitol dan mandaliar yang berada dalam parti.

Kedua, saya meminta pemimpin UMNO-PAS supaya lebih banyak bersyukur dengan anugerah yang disebut Annuar Musa ini kerana Allah masih membuka peluang kepada kita. Bayangkan antara kedua parti ini terus keras hatinya, apakah UMNO dapat merintis jalan ke Putrajaya pada hari ini? Walaupun PAS hanya ada 18 (17) kerusi, signifikannya kepada politik Malaysia amat ketara, termasuk dibandingkan dengan parti yang menang banyak kerusi. Banyak belum tentu kuat, sikit belum tentu lemah. Kadangkala, kecil itu membawa erti yang sangat besar. Sebab itu, dalam politik, jangan perlekeh yang kecil.

Ketiga, saya juga ingin mengingatkan bahawa jangan sampai nikmat anugerah ini membawa kita berputus asa dengan rahmat Allah. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jika ada kelemahan perbaiki bukan saling menuding jari dan bercakaran. Tidak ada jaminan UMNO (BN) boleh menang PRU15, walaupun telah mendapat kemenangan selesa dalam beberapa PRN, seperti di Melaka, Sabah dan Johor.

Keempat, dalam politik, tidak ada siapa yang betul, tidak ada siapa yang salah, seratus peratus. Perkara yang perlu diselesaikan sekarang ini, bukan soal siapa, tetapi apa? Perjelaskan apa yang betul, apa yang salah. Rintislah jalan ke arah penyelesaian itu. Saya amat yakin, jika niat kita betul, untuk mengimarahkan bumi yang dianugerahkan, pasti Allah akan memberikan petunjuk kerana Dialah yang telah melorongkan jalan itu yang disifatkan sebagai anugerah.

Kelima, fikirlah soal masa depan yang panjang. Jangan hanya memikirkan masa kini. Jika hanya untuk menang PRU15, nampak sangat kita sangat kemarukkan kuasa, bukan masa depan ummah yang lebih gemilang. Pada hebat saya, nasib masa depan anak bangsa, anak cucu cicit kita jauh lebih penting daripada masa kini. Tidak ada ertinya menang PRU15, selepas itu tersungkur semula. Jangan sampai kita tersungkur di pintu syurga. Ditakuti seterusnya terhumban ke neraka.

Keenam, jangan perjudikan masa depan agama dan anak bangsa. Perlu ada penegasan dan ketegasan dalam politik. Jika dengan MCA dan MIC, kita boleh berlunak, sedangkan mereka amat bergantung kepada undi Melayu untuk menang, kenapa sesama saudara, kita sanggup berkerat rotan.

Dalam hal ini, saya amat teruja dengan pendekatan Datuk Seri Najib Razak. Meskipun ada suara mahukan MN dibubarkan, beliau mengambil pendekatan tidak serang sana serang ini. Dalam beberapa PRN, tidak pernah beliau menyerang PAS. Kenapa? Jawapan mudah, Najib Razak berjiwa besar, melihat kepada masa depan yang panjang, bukan jangka pendek, meskipun terpaksa berhadapan dengan kes mahkamah yang berjela panjangnya. Kenapa tidak berjiwa besar seperti Najib Razak?

Ketujuh, jika MN terkubur, muafakat apa lagi menginsafkan kita? Sekian lama PAS-UMNO bermusuhan sehingga membawa kepada perpecahan, perceraian dalam rumahtangga, sembahyang dua imam, sembelihan UMNO haram dimakan, kini PAS makan sembelihan UMNO tanpa ragu-ragu lagi. PAS tidak ragu lagi menjodohkan anak dengan anak UMNO. Bukankah ini satu anugerah? Mana nak jumpa keterbukaan seperti melain MN telah membuktikannya?

Kelapan, ketika MN diumumkan, berapa banyak air mata gugur ke bumi, betapa khalayak begitu mengidamkan penyatuan agung yang selama ini dinantikan. Rumahtangga berjaya diselamatkan. Seiringan bergandingan menaiki motosikal bersama.

Kesembilan, jika mahu lihat negara yang berasaskan kenegaraan Melayu ini terus kekal untuk jangka masa panjang, tidak ada pilihan, anugerah MN ini mesti diteruskan dan dipertahankan. Kecuali kita hanya berfikir untuk PRU15.

Ingat! Malaysia bukan Brunei atau Indonesia, yang mana majoriti Islamnya besar. Malaysia sudahlah majoriti tidak besar, orang Melayu Islam berpecah kepada berpuluh kumpulan. Apa akan jadi?

Insaflah, sekarang bukan masa menuding jari untuk melihat siapa benar, siapa salah. Sekarang adalah masa biduk lalu kiambang bertaut. Justeru, pastikan MN tetap mekar dan subur. Bajailah ia meskipun kadangkala layu, kerana jika terkubur, paling rugi adalah kita. umat Islam, sudah tentu paling beruntung adalah MCA, Gerakan, MIC dan DAP kerana mereka menang atas angin disebabkan kemelut sesama kita. Renungkanlah

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button