Berita UtamaDunia

Russia terus mengganas, lancar serangan udara ke kilang besi Mariupol

Ukraine tawar rundingan bagi bela nasib orang awam

MARIUPOL, 23 Ramadan 1443H, Isnin – Tentera Russia dilaporkan menyerbu Kilang Besi Azovstal di tenggara Mariupol, semalam walaupun Presiden Vladimir Putin minggu lalu memberi jaminan tidak akan menyerang kompleks berkenaan.

Tentera Ukraine menerusi Facebook berkata, tentera Russia telah menembak ke kawasan Azovstal serta melancarkan serangan udara ke arah infrastuktur awam.

Komando Briged Marin Ukraine ke-36, Sehiy Volyna menerusi temu bual bersama Ahli Parlimen pembangkang yang ditayangkan di YouTube berkata, tentera Russia menyerang kompleks melalui serangan udara.

“Kami membantu menyelamatkan mangsa dan situasi di sini sangat kritikal, ramai kakitangan yang kebanyakkan lelaki cedera dan ada sebahagian terkorban,” katanya.

Sementara itu, Konstantin Ivaschenko yang dilantik sebagai Datuk Bandar Mariupol oleh Russia tetapi tidak diiktiraf Ukraine menafikan sebarang pertempuran di kawasan kompleks berkenaan.

Kilang Besi Azovstal merupakan kubu kuat di Mariupol, sebuah bandar yang menyaksikan pengeboman berterusan sejak permulaan pencerobohan Russia – Ukraine pada 24 Februari lalu.

Semalam, Penasihat Presiden Ukraine, Oleksiy Arestovych menerusi Facebook berkata, tentera Russia cuba membunuh semua pekerja kilang berkenaan dan lebih 1,000 orang awam yang bersembunyi di dalamnya.

Bagaimanapun, Russia menafikan menyasarkan orang awam dalam apa yang dipanggil ‘operasi kententeraan khas’ untuk memusnahkan tentera Ukraine.

Bagaimanapun, Arestovych dalam video yang dikeluarkan oleh Pejabat Presiden berkata, Ukraine telah menawarkan rundingan istimewa dengan Russia bagi membincangkan nasib orang awam dan tentera Ukraine yang masih terperangkap di kompleks berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button