Berita Utama

RUU larangan merokok di peringkat akhir

Ambil kira pandangan pelbagai pihak dan pemegang taruh berkaitan

BANGI, 23 Ramadan 1443H, Isnin – Rang Undang-Undang (RUU) larangan merokok bagi individu dilahirkan pada 2005 kini di peringkat akhir dan sedang diteliti Jabatan Peguam Negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, draf RUU berkenaan dijangka dimuktamadkan dalam tempoh terdekat, dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak dan pemegang taruh berkaitan.

Katanya, antara pendirian dan pandangan yang diambil kira dalam usaha merangka RUU itu termasuk daripada penggiat industri produk tembakau negara.

“Saya akan teruskan sesi libat urus dengan mereka, untuk beri kefahaman apa peruntukan dan peraturan baharu yang kita akan perkenalkan.

“RUU ini sudah di peringkat akhir, sedang disemak oleh Jabatan Peguam Negara, sebelum ia dimuktamadkan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan tekad mengisytiharkan perang terhadap pasaran gelap dan rokok seludup bagi membasmi kesan tembakau secara menyeluruh.

Bagaimanapun Khairy optimis perang tersebut dapat dilaksanakan sekiranya RUU larangan merokok bagi individu yang dilahirkan pada 2005 diluluskan.

Meskipun matlamat itu disifatkan sebagai populis oleh segelintir pihak beliau berkata, ia akan tetap dirintis bagi memastikan natijah daripada ketagihan nikotin tidak menjejaskan generasi pelapis negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button