Berita UtamaDunia

Taliban takkan bertolak ansur lagi dengan pencerobohan Pakistan

Dakwa puluhan terkorban termasuk kanak-kanak dalam serangan negara jiran

KABUL, 23 Ramadan 1443H, Isnin – Pemangku Menteri Pertahanan Afghanistan, Mullah Mohammad Yaqoob menegaskan Taliban tidak akan bertolak ansur lagi dengan ‘pencerobohan’ daripada negara jirannya berikutan membantah serangan udara yang didakwa dilakukan, Pakistan.

Penegasan berkenaan dibuat selepas Taliban mengutuk tindakan Pakistan yang melancarkan serangan udara sehingga mengorbankan puluhan penduduk di wilayah Kunar dan Khost.

Pakistan bagaimanapun tidak mengesahkan sebarang penglibatan dalam serangan udara di sempadan Afghanistan namun berkata kedua-dua negara tersebut adalah ‘negara bersaudara’.

“Kami menghadapi masalah dan cabaran daripada dunia dan negara jiran, contoh yang jelas adalah pencerobohan di wilayah kami di Kunar,” kata Mullah.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri majlis memperingati kematian bapanya, Mullah Mohammad Omar yang merupakan pengasas Taliban.

Beliau dalam masa sama tetap bertegas untuk tidak bertolak ansur lagi dengan pencerobohan yang dilakukan tersebut.

“Sebelum ini, kami telah banyak bertolak ansur dengan serangan demi kepentingan negara namun untuk kali tiada lagi perkara tersebut,” katanya.

Sementara itu jurucakap Menteri Luar Pakistan enggan mengulas lanjut namun mengharapkan penglibatan jangka panjang dengan Afghanistan boleh menjamin keamanan.

“Pakistan dan Afghanistan adalah adik-beradik, kerajaan dan rakyat kedua-dua negara menganggap keganasan sebagai ancaman yang serius dan telah lama menderita akibat bencana tersebut.

“Oleh itu, adalah penting bagi kedua-dua negara untuk melibatkan diri secara bermakna melalui saluran yang tepat untuk bekerjasama dalam memerangi keganasan rentas sempadan dan mengambil tindakan terhadap kumpulan pengganas,” kata jurucakap itu.

Minggu lalu, Taliban memanggil Duta Pakistan dan menyatakan bantahan terhadap serangan berkenaan.

Pegawai tempatan berkata, serangan yang didakwa dilakukan tentera Pakistan telah mengorbankan 36 orang penduduk.

Malah Ketua agensi kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Afghanistan berkata, kira-kira 20 kanak-kanak terbunuh dalam serangan udara di Khost dan Kunar pada 16 April.

Sejak Taliban mengambil alih Afghanistan pada Ogos tahun lalu, terdapat banyak perselisihan dengan Pakistan.

Lebih mengecewakan lagi, tentera Pakistan telah meningkatkan operasi di sepanjang sempadan Afghanistan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button