Ahli politik dalam dokumen PasLeak dipanggil beri keterangan
PDRM telah memulakan sisatan terhadap kes berkenaan

BANGI, 24 Ramadan 1443H, Selasa – Semua ahli politik yang namanya disebut dalam minit mesyuarat dirujuk sebagai dokumen PasLeak akan dipanggil polis.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya telah memulakan siasatan terhadap kes itu.
“Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur akan memanggil semua ahli politik yang dinamakan dalam dokumen tersebut untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan,” katanya seperti dipetik akhbar tempatan, hari ini.
Bagaimanapun, Azmi tidak menjelaskan secara lanjut tarikh dan masa ahli politik berkenaan akan dipanggil.
Jumaat lalu, Naib Presiden PAS, Senator Datuk Idris Ahmad menyifatkan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat PAS adalah cubaan meretakkan hubungan antara parti-parti Melayu.
Malah beliau menyifatkan, tindakan tersebut merupakan suatu perbuatan yang tidak bertanggungjawab.
Idris memaklumkan tindakan menyebarkan tangkap layar dokumen tersebut juga dilihat sekadar untuk meraih perhatian rakyat.
Pada hari sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas lanjut mengenai kebocoran dokumen minit mesyuarat yang didakwa milik PAS.
Beliau berkata dokumen empat muka surat yang tular Rabu lalu tidak dapat dipastikan kesahihannya.
Terdahulu, tular di media sosial berkaitan empat keping tangkap layar mengenai percaturan politik PAS antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah.
Dokumen diklasifikasikan sebagai sulit itu dipercayai merupakan minit mesyuarat PAS yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut terlibat adalah beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu); Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.