Berita Utama

UMNO takkan berubah jika kekal dalam sindrom penafian: Isham Jalil

Tak perlu buat pemutihan, cukup hanya cari punca penyokong undi parti lawan

BANGI, 27 Muharam 1445H, Isnin – Tiada keperluan untuk UMNO melakukan pemutihan parti, sebaliknya cukup sekadar mencari dan mengakui punca serta sebab penyokongnya mengundi parti lawan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil menegaskan, punca dan sebab ini perlu ditangani segera.

“Pada saya tidak perlu buat pemutihan ke atas ahli UMNO, mereka bukannya perlu diputihkan (dibuang) oleh sebab mereka mengundi (atau disyaki mengundi) parti lain. Jika kita putihkan (buang) mereka, tinggal berapa kerat sahaja ahli dan penyokong kita di akar umbi.

“Mereka akan lebih marah dan benci kepada UMNO dan akan jadi penyokong tegar parti lawan. Ini yang parti lawan kita mahu,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Mengulas lanjut, Isham berkata, jika dahulu penyokong-penyokong tegar UMNO menjadi perayu undi kepada penyokong atas pagar, namun kini mereka dilihat sudah hilang kepercayaan dan perlu diyakinkan.

Menurutnya, golongan itu perlu diyakinkan dengan kebenaran dan keikhlasan bukan retorik mahupun ‘spin’ politik.

“Penyokong tegar kita sudah lama dalam politik, mereka tahu menilai. Daripada ‘memutihkan’ atau membuang mereka, sebaliknya kita perlu meyakinkan mereka semula berkenaan hala tuju dan perjuangan kita.

“Saya lihat mereka mahu lihat perubahan yang drastik bukan hanya retorik,” katanya.

Isham mengakui, jika UMNO kekal dalam sindrom penafian, parti itu akan selamanya tidak berubah dan menyebabkannya semakin lemah.

“Jika kita tidak berubah di saat getir ini, kita akan tamat sebab kita tidak sedar diri walaupun kita sudah rebah. Jika kita tidak berubah, lawan kita akan bertepuk tangan sehingga ke Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16), ini yang mereka mahu, iaitu UMNO hancur di tangan diri sendiri.

“Untuk bangun kita perlu ikhlas dan jujur dengan diri sendiri dan merubah keadaan. Dan kita perlu ada keberanian untuk membawa perubahan ini,” katanya.

Prestasi UMNO-Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya semakin buruk, apabila parti itu hanya berjaya menang di 19 kerusi berbanding 108 kerusi yang ditandingnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), kelmarin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button