Berita UtamaIstimewa

Kedudukan Mahkamah Syariah wajar diangkat lebih tinggi elak terus dihina

PEMBELA persoal status RUU355, dipandang sepi meski pegang tampuk kuasa

BANGI, 24 Ramadan 1443H, Selasa – Tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah menghina keputusan mahkamah mampu mendorong kelompok tertentu untuk terus rakus memperlekeh perundangan syariah di Malaysia yang pada muktakhir ini semakin menjadi-jadi.

Bimbang dengan situasi itu, Pengerusi PEMBELA, Aminuddin Yahaya menggesa agar Mahkamah Syariah diangkat ke kedudukan yang lebih tinggi.

Jelasnya, langkah itu bagi memastikan penghinaan sebegini dapat dibendung dengan lebih efektif selain memperkasakan sistem perundangan syariah di Malaysia.

“PEMBELA menegaskan apa jua bentuk penghinaan dan fitnah terhadap Mahkamah Syariah yang ingin menjatuhkan kredibiliti dan menghakis kepercayaan rakyat adalah suatu ancaman terhadap kedaulatan agama Islam.

“Ia sekali gus menderhaka terhadap Raja-Raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama di peringkat negeri dan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur semalam yang menjatuhkan hukuman penjara kepada Maria Chin selama tujuh hari berkuat kuasa serta-merta.

Hukuman tersebut selepas mendapati Ahli Parlimen Petaling Jaya itu telah menghina mahkamah berkait dengan kes membabitkan Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emelia Hanafi.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, dapatan oleh mahkamah bahawa Maria Chin telah sabit melakukan penghinaan kepada Mahkamah Syariah memberi isyarat ahli legislatif perlu lebih berhati-hati dalam tindakan mereka dan tidak sewenang-wenangnya menggunakan kedudukan mereka tanpa mengira sensitiviti.

“PEMBELA mengalu-alukan ketegasan Mahkamah Syariah dalam pensabitan tersebut,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya Mahkamah Syariah tegas memberi penghakiman tanpa campur tangan pihak luar ataupun dalaman mereka sendiri.

Katanya, Mahkamah Syariah juga tidak seharusnya diberi tekanan oleh mana-mana pihak di dalam membuat keputusan yang adil.

“Sehubungan dengan itu, PEMBELA mempersoalkan status usaha pemerkasaan Mahkamah Syariah melalui RUU355 yang telah dipandang sepi walaupun telah dijanji oleh mereka yang kini memegang tampuk kuasa.

“PEMBELA ingin mengajak rakyat Malaysia agar sensitif dan cakna terhadap isu-isu semasa terutamanya yang menggugat maruah dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button