Kes demam denggi di Perlis meningkat kepada 7 kes setakat April
Jangka berlaku peningkatan kes selepas musim perayaan

KANGAR, 24 Ramadan 1443H, Selasa – Jumlah kumulatif kes demam denggi di Perlis sehingga 23 April tahun ini meningkat kepada tujuh kes daripada empat kes dalam tempoh sama pada 2021, kata Pengarah Kesihatan Negeri Perlis Dr Sirajudin Hashim.
Jabatan Kesihatan Negeri Perlis menerusi kenyataan menjangkakan akan berlaku peningkatan kes demam denggi selepas musim perayaan ini akibat pergerakan besar-besaran masyarakat terutama dari kawasan yang mempunyai beban kes demam denggi yang tinggi.
“Trend ini dapat dilihat dari data-data kes demam denggi Malaysia termasuk di negeri Perlis yang menunjukkan berlakunya peningkatan kes selepas setiap musim perayaan atau cuti panjang,” katanya.
Dr Sirajudin berkata, pergerakan orang ramai secara meluas semasa musim perayaan boleh menyebabkan jangkitan demam denggi lebih cepat merebak jika terdapat nyamuk aedes di persekitaran mereka.
“Jabatan Kesihatan Negeri Perlis ingin menasihatkan agar masyarakat mengambil langkah pencegahan antaranya ialah memastikan bekas-bekas yang boleh menjadi tempat pembiakkan nyamuk seperti buluh lemang, bekas pembalut kuih, botol atau tin minuman terpakai dan sebagainya dimusnahkan atau disimpan dengan baik supaya tidak menakung air,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai dinasihati agar mengelak dari berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai pada waktu nyamuk aedes aktif menggigit iaitu dari 5 hingga 7 pagi dan 5 petang hingga 7 malam. – Bernama