Berita Utama

Laporan akhir kes Pulau Batu Puteh dibentang dalam masa terdekat

Laporan untuk pertimbangan Jemaah Menteri tentukan tindakan selanjutnya

KUALA LUMPUR, 24 Ramadan 1443H, Selasa – Laporan akhir bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan disedia dan dibentangkan Pasukan Petugas Khas (PPK) dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dalam kenyataan hari ini berkata, laporan itu dibuat untuk pertimbangan Jemaah Menteri bagi menentukan tindakan selanjutnya.

Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan berkata, mesyuarat mengambil maklum laporan interim yang dibentangkan PPK pada 25 April (semalam) dan turut memberikan input penambahbaikan untuk perhatian pasukan itu.

“Sehingga kini, PPK ini telah mengadakan 12 mesyuarat yang melibatkan beberapa siri mesyuarat PPK dan jawatankuasa-jawatankuasa kecil yang ditubuhkan iaitu Jawatankuasa Kecil Legal Aspects, Jawatankuasa Kecil Tort of Misfeasance dan Jawatankuasa Kecil Hubungan Malaysia-Singapura,” katanya.

Pasukan itu dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan dan mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan berhubung kes berkenaan dalam tempoh enam bulan.

“Kerajaan amat komited dengan keputusan ini untuk memastikan kedaulatan negara sentiasa terjamin dan menjadi keutamaan,” katanya.

PPK dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan dianggotai bekas Duta Besar Malaysia ke The Hague, Datuk Ahmad Nazri Yusof, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd Sidek dan Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin (peguam).

Turut menganggotai PPK itu, wakil kerajaan negeri Johor, Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir, wakil Jabatan Peguam Negara, Datuk Umar Saifuddin Jaafar, wakil Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Hamdan Ab. Aziz serta wakil Kementerian Luar Negeri, Shaharudin Onn. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button