Berita Utama

MAFI nafi harga ayam naik disebabkan aktiviti kartel

Harga ayam di Malaysia rendah dibanding negara Asia Tenggara lain

BANGI, 24 Ramadan 1443H, Selasa – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menegaskan kenaikan ayam secara umumnya bukan disebabkan kartel.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, harga ayam di negara ini lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak wujud kenaikan harga yang ketara sejak kebelakangan ini.

“Kementerian ambil cakna dengan perkara ini. Ia bukan kartel (ayam), saya nak maklum bahawa kalau di Asia Tenggara, Malaysia mengeluarkan ayam dan kita jual paling murah kalau dibanding negara-negara jiran yang ada.

“Sebab itu, pada hari ini import ayam seperti tidak berlaku kerana harga di negara jiran lebih tinggi dari kita, tapi jika dibanding harga sebelum ini, harga sekarang melambung,” katanya seperti dipetik portal tempatan, hari ini.

Dalam masa sama, Nik Muhammad Zawawi memberi jaminan pihaknya tidak akan berdiam diri untuk memastikan isu kenaikan harga ayam akan ditangani dengan cara yang terbaik.

“Insya-Allah kerajaan akan mengambil pendekatan yang berbagai-bagai. Kita tahu sebelum ini kita beri skim subsidi kepada makanan ayam.

“Kita tengok baru-baru ini harga gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,500 jadi ia akan seimbangkan dan Insya-Allah kerajaan akan tengok perkara ini supaya kenaikan harga barang ini seimbang dengan pendapatan yang diperolehi oleh penduduk di negara kita,” katanya.

Justeru, beliau menyeru rakyat supaya tidak panik dan permasalahan berkenaan akan ditangani segera.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button