Kata Pedang

Perluas segera kuasa DBP, perosak bahasa Melayu semakin berleluasa

DBP perlu diberi taring sama seperti PBT untuk ambil tindakan tegas

RAKYAT kelmarin dikejutkan dengan teguran seorang pemimpin muda berkenaan penggunaan bahasa Melayu di sebuah papan iklan 3D di ibu negara.

Papan iklan berkenaan dakwanya telah merosakkan bahasa Melayu secara terang-terangan melalui penggunaan perkataan yang salah.

Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berjanji untuk memperkasakan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kira-kira sebulan yang lalu, tidak putus-putus sokongan diberikan.

Ramai merasakan sudah tiba masa DBP diberi ‘taring’ dalam memartabatkan bahasa Melayu seperti mana kuasa dimiliki oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setakat ini fungsi DBP hanya terhad dalam memberi khidmat nasihat mengenai penggunaan bahasa Melayu dengan betul kepada produk atau iklan sahaja.

Pendekatan DBP lebih kepada menegur, menasihat dan mendidik berbanding menghukum pihak-pihak yang melakukan kesalahan.

Justeru, perluasan bidang kuasa DBP merupakan satu keperluan terutama dalam mencegah kehadiran lebih ramai anasir-anasir perosak bahasa Melayu.

Menguatkan lagi keperluan ini setelah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Dr Awang Sariyan mendakwa, hampir kesemua PBT dilihat tidak benar-benar mengutamakan bahasa Melayu.

Malah, dakwanya ada yang gagal menjalankan penguatkuasaan mengikut peruntukan di bawah undang-undang kecil ditetapkan.

Menurut analisis DBP, daripada 150 PBT barangkali 10 yang ada keprihatinan terhadap dasar bahasa kebangsaan.

Justeru, tidak hairanlah banyak tempat awam dipenuhi dengan bahasa asing, begitu juga dengan nama bangunan dan jalan.

Perlu dingat, Perdana Menteri baru-baru ini ada mencadangkan bahasa Melayu dijadikan sebagai lingua franca atau bahasa kedua di ASEAN.

Ini kerana selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Oleh itu, demi merealisasikan matlamat tersebut, apa kata kerajaan mendengar saranan pemerhati politik, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah yang mahu bahasa Melayu diperkasakan dahulu di dalam negara.

Maka, pindaan kepada Akta DBP merupakan langkah yang perlu disegerakan, kita mahu DBP sebagai badan berkanun diberi kuasa untuk bertindak dalam memelihara kehormatan bahasa Melayu sebagai warisan tidak ternilai negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button