Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

Rayuan tingkat kuota haji ambil kira penerbangan, logistik

14,306 jemaah dibenarkan mengerjakan haji tahun ini

KUALA LUMPUR, 24 Ramadan 1443H, Selasa – Rayuan kepada Kerajaan Arab Saudi bagi meningkatkan kuota haji untuk Malaysia tahun ini perlu mengambil kira beberapa perkara termasuk urusan penerbangan dan pengurusan logistik di Arab Saudi, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Beliau berkata kuota sebanyak 14,306 atau 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima Malaysia kini juga akan mengutamakan jemaah yang disenaraikan untuk menunaikan ibadah itu pada tahun 2020 dan 2021.

“Kita cuba bincang dengan Tabung Haji. Kita ada cadangan untuk (membuat) rayuan, tapi pihak Tabung Haji menyebut tentang penerbangan, nanti lewat sangat (penerbangan terakhir). Penerbangan paling awal mungkin pada 31 Mei ini.

Kedua dari segi logistik di sana untuk mendapatkan tempat dan mendapatkan bas, perkara-perkara seperti itu yang perlu dilihat terutama dari segi tempat wukuf (Arafah) dan (ibadah melontar jamrah) di Mina,” katanya selepas menghadiri Program Ruang Bicara, Bernama TV di Wisma Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, peningkatan kuota akan menyebabkan ketidakselesaan kepada jemaah yang sedia ada.

Pada 21 April lepas, beliau mengumumkan seramai 14,306 jemaah haji dari Malaysia dibenarkan mengerjakan haji tahun ini iaitu 45 peratus daripada kuota biasa yang diberikan oleh Kerajaan Arab Saudi.

Jumlah kuota itu menyaksikan penyusutan bilangan jemaah haji Malaysia berbanding 31,600 jemaah sebelum ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button