Berita Utama

Tak perlu berlembut dengan penghina mahkamah, bimbang aksi ditiru

Tiba masa perkasa Mahkamah Syariah supaya berfungsi tegak keadilan

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 24 Ramadan 1443H, Selasa – Langkah menjatuhkan hukuman penjara kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang didakwa menghina Mahkamah Syariah satu keputusan tepat.

Ia jelas membuktikan bahawa kerajaan mempertahankan keadilan dan kewibawaan institusi perundangan di negara ini daripada dicabar oleh sesiapa pun.

Presiden BERJASA, Ustaz Zamani Ibrahim berkata, golongan penghina mahkamah tidak sepatutnya dilayan dengan lemah lembut kerana dibimbangi perbuatan mereka ditiru oleh orang lain.

Katanya, keadaan ini akan menyebabkan badan keadilan tidak lagi dihormati masyarakat dan mula dipandang remeh.

“Ini merupakan tindakan tepat, sekiranya kita berlembut dengan apa yang dilakukan oleh seorang yang dianggap pemimpin dan boleh menghina dan pertikai mahkmah sewenang-wenangnya akan wujud lagi lanjutan daripada kes ini untuk terus mempertikai dan menghina kedudukan mahkamah.

“Sedangkan mahkamah ini kedudukan suci dan badan keadilan yang tidak boleh direndahkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, semalam yang menjatuhkan hukuman penjara kepada Maria Chin selama tujuh hari berkuat kuasa serta-merta.

Hukuman tersebut selepas mendapati wakil rakyat PKR itu menghina mahkamah berkait dengan kes membabitkan Pengerusi Bersama Kumpulan Naza, Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emelia Hanafi.

Ustaz Zamani berkata, sebagai seorang pemimpin masyarakat, Maria Chin tidak sepatutnya menyuarakan pendirian yang boleh menghina mahkamah.

“Sepatutnya beliau sebagai pemimpin masyarakat perlu menjadi contoh dan idola kepada masyarakat.

“Kalau beliau tidak mampu menjadikan dirinya contoh kepada rakyat jangan pula mendedahkan dirinya untuk dihina, diperlekehkan rakyat,” tegas beliau.

Katanya lagi, jangan kerana wujud perbezaan dengan mudah Maria Chin mempertikaikan apa yang termaktub dalam perundangan negara.

Justeru katanya, tiba masanya institusi perundangan khususnya Mahkamah Syariah diperkasakan supaya tidak lagi semudahnya dihina.

“Inilah tanggungjawab Ahli Parlimen untuk melihat Mahkamah Syariah itu diperkasakan dan diletakkan di kedudukan yang tinggi supaya dapat berfungsi sebagai badan untuk menegakkan keadilan.

“Tindakan tersebut penting memandangkan Islam adalah agama rasmi di negara kita selain membuktikan negara kita mempunyai agama,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button