Berita UtamaDunia

Tindakan usir keluarga Palestin di Sheikh Jarrah ditangguh

Hakim tekankan ada kecacatan dalam prosedur dikemuka peneroka haram

BAITULMAQDIS, 24 Ramadan 1443H, Selasa – Mahkamah Majistret Israel sekali lagi menangguhkan pengusiran keluarga Salem Palestin dari rumah mereka di kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.

Keputusan diputuskan selepas menerima rayuan keluarga itu terhadap tujuan pengusiran oleh kumpulan peneroka Israel dari rumah yang didiaminya selama tujuh dekad.

Hakim turut memutuskan untuk memulangkan pemfailan itu kepada hakim pelaksanaan dan prosedur bagi mengadakan perbincangan lanjut mengenai kes berkenaan.

Hakim juga menekankan bahawa terdapat kecacatan dalam prosedur yang dikemukakan oleh peneroka yang mesti dipertimbangkan semula.

Menurut aktivis, ini bermakna kemungkinan penolakan keseluruhan kes.

Peguam bagi keluarga Salem, Majed Ghanayem mengesahkan kepada WAFA keputusan mahkamah untuk terus menangguhkan perintah pengusiran sehingga keputusan muktamad dikeluarkan dalam masa terdekat.

Mahkamah menangguhkan pengusiran keluarga Salem dari rumahnya pada Februari lalu selepas Pihak Berkuasa Pelaksanaan dan Pengumpulan Israel mengeluarkan perintah pada Januari untuk melaksanakan keputusan mengusir keluarga itu dari rumah mereka pada Mac.

Keluarga Salem tinggal di kejiranan Sheikh Jarrah selama 73 tahun dan memiliki sebuah rumah dan sebidang tanah di sebelahnya.

Keluarga itu telah melawan cubaan kumpulan peneroka untuk mengusir mereka dari rumah sejak 1988, bahkan dapat menangguhkan keputusan itu pada tahun sama.

Pada 2012, kumpulan peneroka membuka semula kes itu dengan tujuan untuk melaksanakan keputusan mahkamah 1988 yang membenarkan pengusiran keluarga berkenaan, terdiri daripada 11 orang, sehingga 25 tahun dari tarikh ia dikeluarkan.

Lebih 200 keluarga Palestin di Baitulmaqdis yang diduduki menghadapi ancaman pemindahan yang memihak kepada kumpulan penempatan yang disokong oleh sistem kehakiman dan dasar kerajaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button