Berita Utama

‘Ketepi perbezaan, sengketa lama GTA-PN demi umat’

Masih ramai harap semangat perpaduan ummah terus hidup

BANGI, 23 Rabiulawal 1444H, Khamis – Tidak salah untuk Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) mengetepikan segala perbezaan serta persengketaan lama demi kebaikan umat.

Atas sebab itu, Timbalan Pengerusi GTA, Haji Aminuddin Yahaya mengajak PN membuka lembaran baharu perpaduan ummah bersama gerakan berkenaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, masih ramai yang mengharapkan semangat perpaduan ummah terus hidup terutama dalam konteks politik negara, apatah lagi agenda serta objektif kedua-dua gagasan itu selari.

“Bayangkan kekuatan yang boleh kita bina bersama untuk agenda Islam dan Melayu jika kita dapat bersepakat.

“Saya yakin, rakyat juga akan mendukung kita dengan lebih kuat atas semangat kesatuan sesama muslim ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Penaja GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, gerakan itu sedang menilai kemungkinan mempertimbangkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15.

Dr Mahathir berkata, pihaknya bersedia bekerjasama dengan PN yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin jika gabungan itu sependapat dengan GTA serta tidak terbabit dengan perkara yang bertentangan dengan dasar dan prinsipnya.

Mengulas lanjut perkara itu, Aminuddin berkata, hal berkaitan kerjasama GTA-PN sudah kali kedua disebut oleh Dr Mahathir terutamanya dalam menghadapi pilihan raya.

“Saya sangat berbesar hati dan menyokong idea kerjasama GTA-PN memandangkan ramai dari pimpinan PN terutamanya dari PAS dan Bersatu saya kenal dan bersahabat secara peribadi.

“Saya yakin, jauh di sudut hati masing-masing sedar bahawa kita berhadapan dengan raksasa politik iaitu UMNO.

“Kita juga menolak Pakatan Harapan atas dasar mudaratnya terhadap Islam dan Melayu. Kedua-duanya membawa mudarat yang besar kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau turut yakin pimpinan PN juga sedar bahawa figura-figura dan parti-parti komponen dalam GTA sememangnya berjiwa Islam dan Melayu.

“Kita pun telah banyak bersama dalam pelbagai isu-isu mengenai Melayu dan Islam sebelum ini, terutamanya ketika zaman pemerintahan PH (Pakatan Harapan) dahulu,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button