Berita Utama

BERJASA gesa tubuh ‘task force’ tangani banjir

Duduklah semeja tubuhkan gerak kerja, takkan nak tunggu banjir lagi sekali?

BANGI, 25 Ramadan 1443H, Rabu – Kerajaan digesa menubuhkan sebuah jawatankuasa bertindak atau ‘task force’ baharu bagi menangani isu banjir yang ketika ini menimbulkan keresahan dan kebimbangan rakyat.

Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan berkata, setiap kali banjir melanda, pasti ada pihak yang kerugian harta benda sehingga mencecah ribuan ringgit.

“Sebab itu saya cadangkan buat kiraan kerugian dan masukkan dalam satu sumber negara. Bukan kecil ya jumlahnya.

“Dulu banjir besar di Kelantan tahun 2015, kerugian harta benda dan infrastruktur melebihi RM1 bilion. Apabila musibah ini berlaku di Lembah Klang, pasti berlipat kali ganda jumlahnya.

“Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid menganggarkan sebanyak RM15 bilion kerugian.

“Bukan setakat rugi kemusnahan harta benda peribadi, tetapi melibatkan juga perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta infrastruktur negeri. Kalau kerajaan masih tak mengambil serius tentang isu banjir kilat ini, berapa ramai lagi rakyat akan rugi?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau menggesa Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meneliti semula sistem amaran banjir di ibu kota.

“Tengok-tengoklah juga DBKL dengan inisiatif mitigasi banjir yang sampai sekarang masih tidak dibentangkan.

“Bajet RM25 juta telahpun diluluskan untuk selesaikan isu banjir bersama Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram). Tetapi hasil siasatan pelan mitigasi banjir yang sepatutnya dibentangkan pada bulan ini, masih tiada khabar berita,” katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan ia berpunca daripada koordinasi semua kementerian yang sangat lemah.

“Bila sebut pasal banjir, sah-sah melibatkan banyak kementerian.

“Antaranya Kementerian Kerja Raya, Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, turut serta jabatan dan agensi yang terlibat seperti Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.

“Duduklah semeja. Tubuhkan gerak kerja ‘task force’. Takkan nak tunggu banjir lagi sekali?,” bidasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button