Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Berita Utama

MB Kelantan batal lesen pembalakan di dua kompartmen

Penduduk kesal sumber air makin kotor, berpasir

KOTA BHARU, 25 Ramadan 1443H, Rabu – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob membatalkan lesen pembalakan di kompartmen 99 dan 100 bagi menjamin sumber air yang mencukupi kepada penduduk terbabit.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, dua kompartmen lagi iaitu 98 dan 101 telah pun diwartakan sebagai kawasan tadahan air dan tidak dibenarkan sebarang pembalakan.

“Isu yang timbul ialah apabila dua kompartmen bersebelahan iaitu 99 dan 100 diberikan lesen untuk tujuan pembalakan.

“Dalam tinjauan pada hari tersebut (14 April) tiada sebarang kerja pembalakan dilakukan, hanya terdapat sebuah jentolak milik pembalak yang telah ditempatkan di kawasan kompartmen yang baru diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, penduduk sekitar Mengkebang, Kuala Krai dilaporkan mengadu sumber air yang diterima penduduk semakin parah kerana menjadi kotor, berpasir dan malah sehingga mengganggu akitiviti seharian apabila bekalan terputus.

Difahamkan, sebanyak 1,000 hektar kawasan hutan dijadikan lokasi pembalakan sejak 1990-an yang secara tidak langsung menjejaskan empat tandak yang menjadi sumber air utama penduduk.

Abdul Latiff berkata, hasil tinjauan pihaknya, kawasan dua kompartmen iaitu 99 dan 100 jika berlaku pembalakan akan menjejaskan kawasan tadahan air sekali gus merosakkan tandak air sedia ada. 

Walaupun terdapat cadangan untuk memindahkan tandak air ke kawasan baru, beliau berkata, ianya tidak boleh menyelesaikan masalah jika dua kompartmen ini dibenarkan untuk pembalakan.

Justeru, hasil lawatan itu pihaknya menghantar surat bantahan kepada Menteri Besar pada 17 April lalu supaya dibatalkan lesen pembalakan di dua kompartmen tersebut serta merta demi menjaga keperluan air hampir 7,000 penduduk.

“Saya yakin kerajaan negeri tidak akan teragak-agak membatalkan sebarang keputusan yang menyusahkan rakyat dan bersama rakyat dalam apa jua keperluan mereka khususnya air.

“Saya kemudian dimaklumkan Menteri Besar telah membatal kelulusan itu. Kami merakamkan penghargaan di atas keprihatinan dalam usaha menjaga kepentingan rakyat.

“Oleh itu, jangan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dan mengambil kesempatan di sebalik apa jua isu yang berlaku,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button