Berita Utama

PASLeak: Ahmad Samsuri sedia dipanggil beri keterangan

MB Terengganu belum terima panggilan daripada pihak polis

KUALA TERENGGANU, 25 Ramadan 1443H, Rabu – Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersedia pada bila-bila masa sekiranya dipanggil memberi keterangan berhubung penyebaran ‘PASLeak’.

“Sudah tentu sebagai warganegara yang patuh kepada peraturan yang ada, saya atau sesiapa jua yang dipanggil pihak berkuasa akan akur,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Menteri Besar Terengganu itu berkata, setakat ini beliau belum menerima panggilan daripada pihak polis untuk tampil memberi keterangan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim semalam dilaporkan berkata, polis sudah memulakan siasatan terhadap kes berkenaan dan akan memanggil semua ahli politik yang disebut dalam minit mesyuarat yang tular itu.

Ahmad Samsuri dalam pada itu sekali lagi menegaskan tiada keperluan untuk PAS membuat laporan polis berhubung perkara tersebut yang disifatkannya sebagai ‘sampah’.

Ditanya mengenai pihak yang membuat laporan polis, beliau berkata, ia merupakan hak masing-masing dan terserah kepada pihak berkuasa untuk menjalankan sebarang siasatan sekiranya perlu.

Sebelum ini, tular menerusi media sosial beberapa keratan dokumen didakwa merupakan minit mesyuarat PAS yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button