Berita Utama

‘PASLeak’: Polis buka kertas inkuiri

Kenal pasti jika ada kesalahan jenayah sebelum klasifikasi siasatan

BANGI, 25 Ramadan 1443H, Rabu – Polis membuka kertas inkuiri bagi mengenal pasti kesahihan laporan diterima daripada pengadu berkaitan dokumen ‘PASleak’ yang memperincikan dakwaan perancangan politik membabitkan dua pemimpin PAS.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, pihaknya akan menyiasat aduan oleh pengadu itu untuk mengenal pasti jika ada kesalahan jenayah, sebelum mengklasifikasi siasatan mengikut seksyen atau akta tertentu.

Katanya setakat ini, pihaknya belum mendapat maklumat penuh berhubung aduan itu daripada pengadu kes berkenaan.

“Sudah tentu ada individu akan dipanggil membantu siasatan kes ini termasuk pengadu berkenaan, kemudian terpulang kepada hasil siasatan oleh pegawai penyiasat untuk memanggil individu lain,” katanya seperti dipetik laporan media tempatan.

Sebelum ini, empat keping tangkap layar dokumen didakwa mengenai percaturan politik PAS, antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah, menjadi tular di media sosial.

Dokumen diklasifikasikan sebagai sulit itu didakwa adalah minit mesyuarat PAS yang diwakili oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan pemimpin UMNO.

Khamis lalu, peguam mewakili Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuat laporan polis berhubung dakwaan laporan risikan pemimpin PAS itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button