Dunia

WHO gesa global terus kawal penularan jangkitan COVID-19

Kurangkan saringan punca 'buta' corak transmisi, evolusi wabak

GENEVA, 25 Ramadan 1443H, Rabu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa semua negara untuk terus mengekalkan pengawasan terhadap kes jangkitan COVID-19.

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus bimbang apabila kebanyakan negara mulai ‘buta’ terhadap punca dan kesan penularan, kerana mengurangkan kadar ujian saringan.

“Memandangkan banyak negara mengurangkan ujian saringan, WHO kurang mendapat maklumat mengenai transmisi dan penjujukan.

“Ini menjadikan kita semakin buta terhadap corak transmisi dan evolusi penularan wabak,” katanya di ibu pejabat WHO di Geneva, semalam.

Sementara itu, Ketua Eksekutif kumpulan bantuan global, FIND, Bill Rodriguez berkata, kadar ujian saringan di kebanyakan negara telah menjunam sebanyak 70 hingga 90 peratus.

“Kami mempunyai kebolehan untuk mengetahui apa yang berlaku sebelum ini membabitkan transmisi coronavirus.

“Namun kini, kerana kurangnya ujian saringan dibuat oleh global, kami tidak nampak yang sedang berlaku dan perkembangan penularan virus ini,” katanya.

Minggu lalu, WHO memaklumkan kes baharu COVID-19 dan kematian di seluruh dunia terus menurun sejak akhir Mac lalu.

Bagaimanapun, trend penurunan itu perlu dilihat berhati-hati kerana kebanyakan negara sudah beransur-ansur mengubah strategi ujian COVID-19, yang menyebabkan bilangan kes dikesan lebih rendah.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button