9 maut serangan udara Israel di Syria
Lakukan serangan waktu Subuh sasar beberapa kedudukan di Damsyik

DAMSYIK, 26 Ramadan 1443H, Khamis – Serangan udara Israel berhampiran ibu negara Syria, Damsyik, telah membunuh sembilan orang, termasuk lima askar, dalam serbuan paling maut sejak awal 2022, kata seorang pemantau perang.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR) berkata, depot peluru dan beberapa kedudukan yang dikaitkan dengan kehadiran tentera Iran di Syria adalah antara sasaran.
“Musuh Israel melakukan serangan udara pada waktu Subuh, menyasarkan beberapa kedudukan di sekitar Damsyik,” sumber tentera dipetik sebagai berkata oleh Agensi Berita Arab Syria (SANA) milik kerajaan.
“Siasatan menunjukkan empat askar Syria terbunuh, tiga lagi cedera dan kerosakan harta dicatatkan.”
Serangan terbarharu menyusuli satu lagi serangan berhampiran Damsyik pada 14 April, tanpa kemalangan jiwa, menurut SANA.
Peluru berpandu itu ditembak dari bandar tepi laut Israel Tiberias dan kebanyakannya ditembak jatuh oleh pertahanan udara Syria, lapor Reuters.
Bagaimanapun, jurucakap tentera Israel enggan mengulas kepada Reuters mengenai serangan yang dilaporkan.
Israel telah berulang kali melakukan serangan ke atas Syria yang menyasarkan tentera rejim Bashar Al-Assad dan kumpulan yang bergabung dengan Iran. – Agensi