Berita Utama

Gesa struktur semula elaun pelajar tajaan JPA, MARA

60 peratus pelajar tajaan majoritinya golongan B40 terbeban

BANGI, 26 Ramadan 1443H, Khamis – Elaun sara hidup pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu distrukturkan semula dengan segera.

Badan Perhubungan Negara United Kingdom & Eire (BPN UKE) berkata, kos sara hidup di United Kingdom (UK) dan Ireland sedang melambung tinggi turut memberi kesan terutama pelajar tajaan JPA-MARA yang elaun mereka tidak berubah sejak 2012.

“Kehidupan pasca penularan COVID-19 menyaksikan cabaran ekonomi yang perlu ditempuh semua masyarakat dunia.

“Di UK, angka berikut memberi gambaran jelas mengenai realiti ekonomi semasa.

“Tinjauan yang dijalankan oleh JPA-MARA ‘Special Operation’ pada Februari lalu menunjukkan di kota utama seperti Bristol, Edinburgh dan London, lebih 60 peratus pelajar tajaan JPA dan MARA yang majoritinya golongan B40 terbeban dengan perbelanjaan harian mereka,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rata-rata pelajar di kawasan tersebut kini terpaksa menanggung purata £500 – £730 (RM2,733 – RM3,990) sebulan untuk membayar sewa rumah dan bil utiliti yang mencakupi 60 hingga 70 peratus daripada elaun diterima.

“Keadaan tersebut menyebabkan mereka hanya mempunyai lebihan elaun 30 hingga 40 peratus yang perlu digunakan untuk perbelanjaan rumah, universiti, peribadi dan kecemasan,” katanya.

Malah, masalah ketidakseimbangan pendapatan pelajar JPA dan MARA itu berpunca daripada klasifikasi elaun kawasan Zon A dan Zon B yang tidak selari dengan keperluan semasa sehingga menyebabkan pemberian elaun yang tidak setara dengan kos sara hidup berlaku.

“Sebagai contoh, elaun sara hidup yang diterima pelajar JPA dan MARA ketika ini di beberapa kota utama seperti London adalah sebanyak £1045 (RM5,712) didapati jauh lebih rendah berbanding median saranan kerajaan UK iaitu sebanyak £ 1312 (RM7,172) setakat September 2021.

“Perbezaan antara nilai terbabit terpaksa ditanggung kebanyakan pelajar melalui pemotongan bajet dengan cara mengikat perut, mendapatkan penempatan yang jauh daripada universiti serta bekerja sambilan di luar waktu kelas semata-mata untuk menampung keperluan harian.

“Jika dibiarkan keadaan ini dijangka menjadi lebih teruk pada bulan akan datang,” katanya.

Justeru, menyedari akan situasi kritikal ini, pihaknya menubuhkan jawatankuasa khas bagi bersama-sama membantu mencari penyelesaian segera untuk menangani krisis kos sara hidup yang melanda pelajar tajaan JPA-MARA.

Jawatankuasa itu akan bertanggungjawab menjalankan kajian terperinci berkenaan sebarang cadangan polisi sebelum dibentangkan kepada JPA, MARA dan Kabinet untuk tindakan susulan.

“Konsensus terbaik dalam usaha meningkatkan elaun sara hidup mengambil kira situasi ekonomi negara yang juga masih dalam fasa pemulihan pasca-COVID 19 perlulah dibincangkan segera bersama semua pemegang taruh.

“Hal ini untuk memastikan pelajar tidak terus terbeban dan dihimpit krisis kos sara hidup angkara konflik dunia yang tidak berpenghujung,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button