Berita Utama

Hospital Sungai Buloh ditukar kepada status hibrid

Perkhidmatan perubatan bukan COVID-19 tertangguh dimula semula

BANGI, 26 Ramadan 1443H, Khamis – Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju supaya perkhidmatan perubatan bukan COVID-19 yang tertangguh di Hospital Sungai Buloh dimulakan semula, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Keputusan itu setelah mengambil kira situasi terkini pandemik COVID-19 di Malaysia, terutamanya kes-kes kategori 3, 4 dan 5 serta kadar penggunaan fasiliti kesihatan khusus yang rendah di Lembah Klang.

Sehubungan itu, perkhidmatan hospital berkenaan telah ditukar kepada status hibrid, di mana ianya akan merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19.

“Sebagai makluman, Hospital Sungai Buloh telah diwartakan sebelum ini pada 10 Mac 2020 sebagai hospital perawatan perubatan khusus kepada pesakit-pesakit COVID-19 sahaja.

“Langkah strategik ini telah dijalankan oleh KKM pada masa tersebut sebagai salah satu inisiatif untuk menampung keperluan katil hospital di Lembah Klang bagi merawat kes COVID-19 serta membolehkan pengurusan fasiliti, ubat-ubatan, peralatan perubatan, kepakaran dan sumber manusia yang optimum,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada kemuncak operasinya, Dr Noor Hisham berkata, hospital berkenaan telah mampu menampung lebih daripada 2,000 pesakit COVID-19 pada satu-satu masa dan sehingga semalam, seramai 92,874 pesakit COVID-19 telah dirawat di sana sepanjang pandemik.

“Selaras dengan strategi negara semasa fasa peralihan ke endemik COVID-19 ini, KKM akan sentiasa memantau dan bersiagsiaga dalam menyediakan perkhidmatan perubatan khusus bagi kes-kes COVID-19 termasuk perkhidmatan rawatan kritikal berdasarkan Pelan Strategik KKM Bagi Pengurusan COVID-19 sekiranya berlaku sebarang peningkatan kes di negara ini.

“KKM ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di seluruh negara terutamanya di Hospital Sungai Buloh yang telah memberikan komitmen yang jitu untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik di sepanjang pandemik COVID-19 ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button