Berita UtamaDunia

Lebih 500 orang awam di Yaman hilang tahun lalu

Persatuan gesa PBB usaha bebaskan mangsa culik

SANA’A, 26 Ramadan 1443H, Khamis – Lebih 500 orang awam di Yaman telah diculik dan hilang secara paksa tahun lalu, menurut laporan.

Laporan tahunan keenam oleh Abductees’ Mother Association, bertajuk ‘Mothers at the Gates of Justice 3’, mendedahkan bahawa 586 orang awam diculik pada 2021, daripada angka itu 422 diculik oleh tentera Houthi, termasuk seorang wanita dan 13 kanak-kanak.

Tentera yang bergabung dengan Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE dilaporkan telah menahan 109 orang awam.  

Sementara itu, tentera yang berperang bagi pihak kerajaan Yaman yang berpangkalan di Arab Saudi menahan 48 orang, termasuk seorang wanita. 

Tujuh orang yang selebihnya telah ditahan oleh pasukan penentangan kebangsaan yang disokong UAE, yang beroperasi di pantai barat.

Laporan itu juga menemui tiga kes yang membawa kepada kematian, termasuk dua kes di dalam penjara di bawah pentadbiran pihak berkuasa pimpinan Houthi, satu akibat tembakan, dan satu lagi akibat kecuaian perubatan.

Kira-kira 134 orang awam telah hilang secara paksa dari semua pihak dalam konflik di Yaman, di mana 62 orang awam telah dihilangkan secara paksa oleh Houthi, 59 oleh Pasukan Talian Keselamatan STC dan lapan oleh pasukan keselamatan yang bergabung dengan kerajaan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa di bandar-bandar  Marib dan Taiz. 

Lima orang awam telah hilang secara paksa oleh kumpulan penentangan kebangsaan.

Persatuan itu menyeru semua pihak dalam konflik, penyokong asing mereka dan PBB untuk berusaha ke arah pembebasan mangsa culik dan mendedahkan nasib mereka yang hilang secara paksa.  

Ia juga menggesa pihak berkuasa saingan di negara itu memastikan tahanan diberikan hak yang dijamin kepada mereka oleh perlembagaan dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Ditubuhkan di ibu negara Sanaa pada 2016, Abductees’ Mother Association ialah sebuah organisasi masyarakat sivil yang diketuai oleh wanita dan ditubuhkan hasil daripada ibu, adik perempuan, isteri dan ahli keluarga wanita lain tahanan yang hilang secara paksa berkumpul untuk menuntut saudara mereka dibebaskan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button