Berita UtamaDunia

Mahmoud Abbas bertemu Raja Jordan, bincang konflik Palestin-Israel

Mohon antarabangsa hentikan keganasan Zoinis terhadap penduduk Palestin

Amman, 26 Ramadan 1443H, Khamis – Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengadakan pertemuan dengan Raja Jordan, Raja Abdullah II di istana Al Husseiniya di Amman, semalam.

Dalam pertemuan berkenaan, Presiden Abbas mengadakan perbincangan dengan Raja Abdullah II berhubung perkembangan politik di Palestin dan keganasan berterusan yang dilakukan negara haram Israel.

Ia termasuk tumpuan dalam mempertahankan dan melindungi Baitulmaqdis yang diduduki.

Abbas mengulangi keperluan tekanan semua pihak ke atas Zionis bagi menghentikan keganasan selain menghormati perjanjian yang ditandatangani.

Malah Abbas juga meminta antarabangsa untuk menghentikan pencerobohan berterusan Israel ke atas penduduk Palestin.

Beliau turut menyatakan kepentingan meningkatkan hubungan Palestin-Jordan bagi menggerakkan masyarakat antarabangsa untuk menghentikan amalan dan dasar agresif negara haram Israel terhadap penduduk Palestin.

Abbas juga menekankan kepentingan mematuhi rujukan proses damai dan resolusi yang dikeluarkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta keperluan menyediakan rakyat Palestin perlindungan antarabangsa daripada penjajahan tentera Israel.

Abbas menghargai Jordan yang menyokong Palestin dalam semua perkara termasuk penglibatan antarabangsa selain menekankan kesungguhan Palestin bagi mengukuhkan hubungan persaudaraan dan kerjasama antara dua negara.

Sementara itu, Raja Abdullah menyatakan pendirian negaranya untuk terus menyokong penduduk Palestin bagi menubuhkan sebuah negara merdeka dan aman.

Beliau turut menyatakan keazaman negaranya dan usaha gigih dengan semua pihak serantau untuk menghentikan pencerobohan Israel selain memelihara status sejarah tapak suci di Baitulmaqdis. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button