Berita Utama

PasLeak: Hubungan UMNO-PAS makin keruh

Masing-masing nak jadi parti dominan, penyatuan sudah tak relevan?

Oleh: Zuhayati Yazid

BANGI, 26 Ramadan 1443H, Khamis – Dokumen minit mesyuarat, PasLeak yang didakwa mengandungi perancangan sulit untuk menjatuhkan pemimpin UMNO, dilihat semakin mengeruhkan keadaan.

Penganalisis politik, Prof Dr Jeniri Amir berkata, di sebalik isu berkenaan, ia sudah menggambarkan pendirian UMNO yang sebenar.

“Saya melihat pergolakan tersebut bukan hanya mengeruhkan keadaan kedua-dua parti utama negara, sebaliknya mencetuskan ketegangan dari sudut hubungan yang tidak membawa kebaikan.

“Saya fikir apa yang kita nampak adalah UMNO dan Barisan Nasional tidak mahu lagi bekerjasama dengan PAS.

“Sedangkan perkara ini sengaja dicetus dan kesannya menyebabkan ada pihak yang terluka sehingga menyebabkan hubungan tersebut sukar dipulihkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut Jeniri berkata, perkara tersebut sangat merugikan di pihak tertentu memandangkan keaslian dokumen berkenaan masih diragui.

Selain itu katanya, UMNO kini optimis mampu berdiri solo tanpa memerlukan sokongan daripada parti-parti lain sedangkan gabungan kedua-dua parti Melayu itu adalah gabungan kuat.

“Mungkin bagi mereka soal penyatuan sudah tidak relavan dalam konteks kejar kuasa walaupun sebenarnya lebih manfaat sekiranya PAS dan UMNO bergabung,” tegasnya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa dokumen, yang mendakwa terdapat perancangan rapi untuk mempercepatkan hukuman mahkamah terhadap beberapa pemimpin kanan UMNO.

Antara nama yang disebut sebagai ‘perancang utama’ dalam dokumen itu ialah Naib Presiden PAS, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, yang dikatakan mengadakan pertemuan dengan pemimpin parti politik lain.

Antara pemimpin itu ialah Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali diikuti Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button