Berita Utama

Tarikh 1 Syawal, serah pada pihak autoriti: Menteri

Aktiviti cerapan rasmi dilaksanakan petang Ahad, 1 Mei

KUALA LUMPUR, 26 Ramadan 1443H, Khamis – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad mengambil maklum sebaran mesej yang tular di media sosial berhubung perubahan tarikh 1 Syawal. 

Beliau menasihatkan orang ramai agar menyerahkan urusan tersebut kepada pihak berautoriti dan meminta umat Islam terus fokus kepada ibadah yang berbaki dalam bulan Ramadan.

“Segala pengumuman dan perkara teknikal kita serahkan kepada pihak berautoriti.

“Moga kita terus bertenang dan terus mengejar malam yang penuh barakah iaitu lailatul qadar,” katanya dalam catatan di laman Facebook beliau.

Sementara itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan, semalam turut merujuk isu penetapan tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini seperti yang sedang tular. 

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, sebagaimana maklum, Malaysia menggunakan kaedah rukyah dan hisab dalam menentukan awal bulan hijri termasuk tarikh awal puasa, Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Aidil Adha.

“Kaedah ini adalah selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak dan astronomi yang telah dipersetujui oleh semua negeri,” katanya.

Beliau berkata, berkaitan penentuan awal Syawal 1443 atau tarikh Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini, aktiviti cerapan rasmi di seluruh negeri di Malaysia akan dilaksanakan di 29 lokasi pada petang Ahad, 29 Ramadan bersamaan 1 Mei ini.

Katanya, aktiviti cerapan anak bulan ini dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri yang dipengerusikan oleh Sahibus Samahah Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulama, pegawai falak yang berkemahiran serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).

“Data rukyah yang digunakan adalah data rasmi untuk Malaysia yang dikeluarkan oleh JUPEM.

“Pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidil Fitri akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan oleh Majlis Raja-Raja pada malam tersebut tertakluk kepada hasil aktiviti cerapan anak bulan di semua lokasi yang telah ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, Jakim menasihatkan semua pihak supaya menghormati proses penentuan rasmi tarikh hari raya di negara ini yang telah dilaksanakan sejak sekian lama dan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada pihak berautoriti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button