Berita Utama

Wajib pakaian seragam sekolah mulai 12 Jun

Garis panduan peperiksaan kekal digunakan hingga 17 Mei

PUTRAJAYA, 26 Ramadan 1443H, Khamis – Kementerian Pendidikan (KPM) mewajibkan semua murid untuk memakai pakaian seragam sekolah bermula sesi persekolahan penggal kedua pada 12 Jun ini.

Ini bermakna, kelonggaran berkaitan pemakaian seragam sekolah dan kekemasan kendiri murid termasuk rambut hanya diberikan sebelum tarikh berkenaan dikuat kuasa.

Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, ketetapan berkaitan pemakaian dan kekemasan rambut kini kembali seperti mana sebelum berlakunya pandemik COVID-19.

“Kita beri kelonggaran sehingga 12 Jun 2022, murid diwajibkan berpakaian seragam sekolah seperti mana sebelum pandemik.

“Ini termasuklah berkaitan rambut panjang, bermula tarikh itu juga semua ketetapan berkaitan pemakaian, rambut dan sebagainya ditetapkan seperti sebelum pandemik COVID-19,” katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa garis panduan berkaitan pentaksiran dan peperiksaan akan kekal berkuat kuasa sehingga 17 Mei 2022.

“Maknanya, garis panduan sedia ada berkaitan dengan peperiksaan boleh digunakan sehingga 17 Mei. Selepas itu, mereka boleh kembali kepada pendekatan asal berkaitan pentaksiran dan peperiksaan, khususnya dalam peperiksaan utama seperti SPM, STPM dan STAM.

“Ini bagi memastikan pengurusan peperiksaan tidak mengambil ruang terlalu banyak seperti kita gunakan sewaktu pandemik.

“Jika sebelum ini jarak antara meja cukup jauh 1.5 meter, maka ia boleh dikembalikan ke jarak yang lebih dekat dalam keadaan di mana sesetengah sekolah itu tidak mempunyai ruang yang mencukupi,” katanya.

Dr Radzi turut memaklumkan keputusan rayuan kemasukan ke sekolah khusus bagi pelajar Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 adalah esok.

“Jadi, ibu bapa yang mana anak-anak mereka buat rayuan kemasukan ke asrama boleh membuat semakan pada 29 April.

“Ingin saya umumkan juga bahawa tarikh kemasukan dan pendaftaran secara fizikal anak-anak ke sekolah khusus bagi Tingkatan 1 dan Tingkatan 4 adalah pada 13 hingga 16 Mei 2022,” katanya.

Katanya, KPM memberi ruang lebih panjang kepada ibu bapa membuat persediaan bagi menghantar anak mereka ke asrama.

Kemasukan itu membabitkan semua ambilan baharu dan rayuan untuk pelajar Tingkatan 1, sementara bagi Tingkatan 4, tempoh itu hanya membabitkan kemasukan pelajar rayuan memandangkan ambilan baharu sudah masuk ke asrama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button